
BINTULU: Projek pembinaan Muzium Bintulu kini memasuki fasa awal pengumpulan bahan pameran dan dijangka siap pada suku ketiga 2029.
Setiausaha Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Wan Ibrahim Wan Ali berkata, tender pembinaan bangunan muzium itu dijadual dikeluarkan pada suku kedua 2026, manakala pasukan pembangunan pameran sudah bergerak aktif mengumpul bahan serta menemubual pelbagai agensi di sekitar Bahagian Bintulu.
“Pasukan kami bergerak aktif di sekitar Bahagian Bintulu, melawat pelbagai agensi serta menjalankan sesi temubual dan perbincangan bersama mereka.
“Bangunan muzium dijadual ditender pada suku kedua 2026 dan jika semuanya berjalan lancar, ia dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2029,” katanya ketika berucap dalam majlis ringkas Taklimat Muzium Bintulu Kepada Agensi Korporat di salah satu hotel di sini, hari ini.

Beliau menegaskan muzium itu bukan sekadar ruang pameran artifak, sebaliknya menonjolkan kisah dan identiti penduduk Bintulu yang dibangunkan oleh komuniti sendiri.
“Ia akan dibangunkan oleh orang Bintulu sendiri, anda dan saya, berasaskan kisah serta cerita kita.
“Bukan sekadar mempamerkan artifak tetapi menonjolkan cerita di sebaliknya dan dimiliki komuniti kita,” jelasnya.
Menurut Wan Ibrahim, projek berkenaan juga akan menyokong aspirasi menjadikan Bintulu bandar lengkap dengan kemudahan pendidikan, pusat pentadbiran dan tarikan budaya.
“Apabila anda datang ke Bandar Bintulu kelak, muzium ini menjadi salah satu faktor penting kerana ia menggambarkan kekayaan sejarah dan budaya masyarakat kita,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan projek berkenaan memerlukan kerjasama rapat sektor korporat dan swasta yang disifatkan sebagai rakan penting dalam membangunkan muzium itu.
“BDA hanya menyelaras dan memulakan usaha, tetapi sektor korporat dan swasta perlu menjadi sebahagian daripadanya.
“Dengan sokongan padu anda, muzium ini akan menjadi lebih daripada sekadar projek dan ia akan menjadi legasi komuniti sebenar,” katanya.
Turut diadakan, penyerahan memorandum persefahaman (MoU) kepada penyumbang bahan bersejarah yang akan dipamerkan di Muzium Bintulu sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka.
Wan Ibrahim berkata, langkah itu menandakan permulaan kerjasama rasmi antara BDA dengan pelbagai pihak, sekali gus memberi peluang kepada komuniti setempat menyumbang kepada pembangunan muzium berkenaan.
Oleh Carolyne Utih