
KANOWIT: Pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 25 juta liter sehari (25 MLD) di Kanowit yang menelan kos RM185.2 juta kini berjalan lancar.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi menyatakan perkara itu selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan loji berkenaan, hari ini.
“Hari ini saya berkesempatan mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Loji Rawatan Air baharu di Kanowit yang kini berjalan lancar.
“Ketika ini, Kanowit mempunyai loji rawatan air sedia ada berkapasiti 4.86 MLD,” katanya.
Menurutnya, pembinaan loji baharu berkapasiti 25 MLD itu amat penting bagi memperkukuh sistem bekalan air di Kanowit untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan rakyat menikmati bekalan air yang mencukupi dan berkualiti,” katanya.
Turut mengiringi lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong, ADUN Ngemah, Anyi Jana, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Datu Jafri Lias serta yang lain.
Oleh Akun Giman