APABILA bercakap pasal kesepaduan sosial, saya teringat kata-kata bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dalam satu sesi berjumpa rakyat yang melambang keutuhan pepaduan di Sarawak. Beliau berkata bahawa orang Sarawak “dapat duduk sama, makan sama, minum sama, carik amoi pun sama”. Kata-kata ini mempunyai kebenaran di Sarawak kerana keharmonian dan rukun damai di Sarawak memang utuh tanpa timbul krisis berkaitan kaum dan agama.
Oleh kerana itu, orang luar melihat Sarawak sebagai satu contoh kesepaduan sosial yang cukup ideal di Malaysia. Apakah kesepaduan sosial? Konsep ini dikaitkan dengan satu fenomena yang dipadu kepada keinginan untuk mencapai perpaduan yang utuh. Oleh itu masyarakat dalam hal ini akan berusaha mencari titik-titik perpaduan bagi mewujudkan kerukunan dalam sesebuah negara atau kawasan.
Kesepaduan sosial di Sarawak telah terbina sejak sebelum kedatangan James Brooke lagi. Apa yang menariknya disini adalah Sarawak ini didiami oleh pelbagai kaum Bumiputera seperti Iban, Melayu, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan pelbagai lagi kaum kecil yang lain. Selepas itu orang Cina dan India datang tetapi budaya dan kepercayaan serta agama kedua-dua kaum ini tidak membawa kepada ketegangan besar di Sarawak.
Hal ini dibuktikan dengan sejarah Sarawak sendiri yang menyaksikan bahawa masalah perkauman tidak membawa impak besar kepada Sarawak. Malah perpaduan utuh dipegang oleh kaum-kaum ini yang menghormati budaya, kepercayaan dan agama kaum-kaum lain.
IKATAN PERPADUAN
Sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak, hubungan antara kaum di negeri ini adalah pada tahap baik. Jika diteliti Hikayat Merpati Jepang, kemunculan kerajaan Melayu di Santubong memperkukuhkan hubungan antara kaum. Ini kerana orang Melayu menjadi kelas pemerintah dan pedagang mendapat sokongan penduduk pedalaman Sarawak yang rata-ratanya orang Dayak. Orang Dayak ini membekalkan barangan hasil hutan untuk didagangkan ke luar negara.
Pepaduan antara kaum ini dipanjangkan lagi dengan kemunculan beberapa kerajaan Melayu di Sarawak sehingga kemunculan empayar Brunei. Kerajaan Brunei mengiktiraf kaum-kaum Dayak yang tinggal di pedalaman dengan gelaran Orang Kaya. Hubungan kuat antara kaum ini membawa keharmoni dalam empayar Brunei walaupun mempunyai pelbagai latar belakang budaya.
Hubungan paling membantu antara satu sama lain dicerminkan dalam aspek perdagangan antara orang Melayu dan Dayak. Pedagang-pedagang Melayu akan mengadakan hubungan dagang ini dengan membawa barang luar Sarawak ke kawasan pedalaman. Timbal balik daripada hal ini diteruskan dengan peranan orang Dayak yang membekalkan barangan dari hasil hutan dan petanian.
Hubungan ini tidak pernah mengalami masalah walaupun berita tentang aktiviti pemengalan kepala dan perlanun mula tersebar dalam abad ke-18 dan 19. Malah ia menjadi kukuh dengan sokongan orang Dayak kepada pemerintah-pemerintah Melayu di Skrang, Saribas dan Banting.
KEDATANGAN BROOKE
Ikatan ini menjadi satu kebimbangan oleh James Brooke apabila beliau mendirikan kerajaan di Sarawak. Ini kerana kekuatan pepaduan antara kaum ini boleh mengancam kedudukan beliau di Kuching. Oleh sebab itu Raja James Brooke menggunakan propaganda lanun untuk menyasarkan pemerintahan golongan syarif di Sarawak. Oleh itu, Sharif Sahap, Sharif Mular, Sharif Jaafar dan Sharif Masahor mula diperangi oleh kerajaan Brooke.
Selepas itu perpaduan ini dipecahkan lagi dengan memindah orang Melayu di pedalaman untuk tinggal di kubu-kubu yang didirikan oleh kerajaan Brooke. Pemindahan ini penting bagi mengelak kesatuan antara kaum-kaum di Sarawak menentang kerajaan Brooke. Bagaimanapun, ikatan kesepaduan ini tidak pernah luntur. Hal ini dibuktikan dengan keperluan pemerintah Brooke untuk mengukuhkan hubungan dengan penduduk pedalaman.
Oleh kerana kekuatan hubungan antara Orang Melayu dan Melanau dengan penduduk pedalaman menyebabkan mereka dilantik sebagai Pegawai Bumiputera (Native Officer). Pelantikan ini sebagai satu pengiktirafan penting tentang perlunya hubungan ini diteruskan dalam pengawasan Brooke.
KEHADIRAN KOMUNITI BAHARU
Seperkara yang berlaku pada zaman Brooke ini ialah penghijrahan buruh-buruh asing ke Sarawak seperti orang Cina dan India. Walaupun orang Cina telah datang sebelum Brooke sampai ke Sarawak tetapi kepesatan kedatangan mereka telah berlaku selepas kedatangan Brooke kerana terdapat peluang-peluang ekonomi baik di Sarawak ketika itu.
Orang Cina yang rata-ratanya mempunyai kepercayaan, budaya dan adat resam berbeza dengan penduduk asal Sarawak tetapi apabila mereka menjejak ke Sarawak mereka secara umumnya tidak menerima tentangan daripada penduduk asalnya.
Malah orang Cina dialek Hakka yang mula-mula bertapak di Bau mengeratkan hubungan mereka melalui perlahwinan dengan orang Bidayuh.
Perkahwinan campur ini menunjukkan bahawa orang tempatan di Sarawak tidak melihat perbezaan kaum sebagai halangan dalam keharmonian sosial.
Insiden serangan orang Cina Bau ke atas Kuching pada 1857 tidak membawa kepada masalah perkauman. Orang Cina di Bau kekal dapat tinggal tanpa rasa bimbang sehingga ke hari ini. Malah mereka juga terus bermigrasi dari Sambas untuk menetap ke Sarawak.
HUBUNGAN RAPAT
Orang Cina yang datang ke Kuching pula mudah menyesuaikan keadaan di persekitaran bandar Melayu Kuching ketika itu. Mereka walaupun membawa budaya mereka tetapi mampu mempelajari budaya masyarakat tempatan terutama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Satu lagi babak-babak sejarah yang mengukuhkan kesepaduan sosial di Sarawak adalah penerimaan orang Melayu Sarawak terhadap masyarakat Cina dan India di Sarawak.
Hal ini jelas terpapar dalam catatan seorang peniaga hebat orang Cina yang bernama Ong Ewe Hai. Beliau bersama-sama dengan rakannya yang mencari peluang ekonomi di Sarawak berhadapan dunia berbeza dengan budaya mereka semasa tiba di Kuching.
Namun demikian Ong Ewe Hai dapat diterima oleh pembesar Melayu untuk tinggal bersama-sama masyarakat Melayu di Kuching.
Untuk beberapa ketika, Ong Ewe Hai kemudiannya tinggal di rumah pembesar Melayu ini yang membenihkan persahabatan antara kaum di Sarawak. Jejak-jejak sejarah ini memperlihatkan bagaimana kesepaduan sosial ini telah dibina di Sarawak, dan ia kukuh sehingga ke hari ini. Oleh itu diharap generasi hari ini memahami kesepaduan sosial yang telah dibina oleh nenek moyang kita agar tidak menimbulkan perkara-perkara yang boleh merengangkan hubungan yang dibina sejak bertahun-tahun.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.