KUCHING: Pembinaan jambatan kedua Batu Kawa serta jalan akses yang baharu akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan itu.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berharap kerja-kerja berkaitan projek itu dapat disegerakan bagi memastikan ia dapat siap secepatnya.
”Saya amat memuji Jabatan Tanah dan Survei atas ketangkasan mereka dalam mempercepat peringkat seterusnya dalam projek tersebut.
“Projek bernilai RM160 juta itu merangkumi pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai Sarawak dan jalan dua hala baharu sepanjang lebih lima kilometer,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kawa berkata beliau akan sentiasa komited dalam menumpukan usaha menangani isu kesesakan lalu lintas di kawasan itu melalui pembinaan jalan baharu.
Menurutnya, antara projek-projek yang telah berjaya disiapkan adalah Jalan Tan Sri Wee Boon Ping yang menghubungkan Jalan Stephen Yong dengan Batu 4½ , jalan akses baharu dari Kampung Segedup ke Jalan Sungai Maong dan Matang, serta jalan alternatif Taman Kwong Tiong.
Selain itu, katanya, projek-projek yang sedang berjalan termasuk jalan akses baharu ke Jalan Ensing Timur dari Jalan Datuk Tan Men Chong dan Persimpangan Jalan Stapok Utama, serta jalan akses sepanjang tiga kilometer dari lampu isyarat Jalan Stephen Yong melalui Kampung Segedup ke Matang.
Sim pada masa sama menekankan bahawa kesemua projek jalan tersebut dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, namun cukai jalan dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.
Oleh itu, beliau menggesa Ahli Parlimen dari Sarawak untuk memperjuangkan lebih banyak projek pembangunan jalan raya yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan bagi menangani kesesakan lalu lintas di negeri ini.
Oleh Rynna Sha’erra