PUSA: Projek pembinaan Jambatan Sungai Krian kini sudah mencapai status 20.53 peratus siap menjelang 25 Januari lepas demikian menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Aidel Lariwoo.
Menurut beliau pelaksanaan projek bagi kontrak baharu ini melibatkan pertambahan sebanyak RM112 juta berbanding kontrak asal iaitu RM75 juta dan hanya mengalami kelewatan sebanyak 0.05 peratus atau tiga hari mengikut jadual.
“Skop projek tersebut mencakupi pembinaan jambatan sepanjang 690 meter merentangi Sungai Krian termasuk pembinaan jalan raya sepanjang 1.956 kilometer menuju ke jambatan itu.
“Kerja pembinaan jambatan ini dilaksanakan oleh syarikat EPR (Kuching) Sendirian Berhad dengan sejumlah RM12,499,580.09 sudah dibayar kepada pihak kontraktor berkenaan setakat ini,” katanya.
Selain itu beliau ketika lawatan kerja ke tapak projek tersebut hari ini memberitahu tarikh siap yang baharu bagi kerja pembinaan jambatan termasuk jalan di situ adalah pada 31 Julai 2025.
“Justeru saya berharap agar pihak kontraktor dapat menyiapkan kerja pembinaan Jambatan Sungai Krian ini mengikut tarikh baharu yang telah ditetapkan demi manfaat penduduk,” katanya.
Terdahulu, Projek Jambatan Batang Krian ini telah dilaksana di bawah Pakej D4 Jalan Pesisir Sarawak bermula pada 25 Mac 2019 dengan tarikh siap asal pelaksanaannya pula adalah 24 Mac tahun ini.
Bagaimanapun, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19 dan beberapa faktor lain telah menyebabkan kelewatan terhadap pelaksanaan projek tersebut.
Projek Jambatan Sungai Krian ini dijangka melengkapkan jaringan yang terputus sepanjang jalan pesisir termasuk kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Maludam, Kabong, Bintulu dan Miri apabila ia sudah mula dibuka nanti.
Malah kehadiran Jambatan Sungai Krian itu nanti juga akan menggantikan kemudahan feri yang beroperasi di Krian di samping memberi impak yang besar terhadap pembangunan kawasan pesisir.
Oleh Valentine Ngumbang