KUCHING: Pembinaan Jambatan Sejingkat yang kini sedang dilaksanakan telah mencatat kemajuan fizikal sebanyak 52.45 peratus, sedikit ketinggalan berbanding sasaran tahunan iaitu 59.75 peratus.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo, berkata kelewatan kira-kira 7.3 peratus itu berpunca daripada beberapa isu teknikal, khususnya berkaitan kerja sementara yang melibatkan penggunaan peralatan penting iaitu ‘form traveller’ dalam pembinaan struktur jambatan.
“Berdasarkan kontrak yang telah disemak semula, tarikh siap projek ini ditetapkan pada Februari 2026. Namun begitu, disebabkan kelewatan ini, pihak kontraktor telah menyatakan komitmen untuk menyiapkannya sebelum Jun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan kerjanya ke tapak pembinaan Jambatan Sejingkat, di sini, hari ini.
Tambahnya, kontraktor kini sedang berusaha menyelesaikan isu berkenaan, termasuk mengambil inisiatif mengimport dua set ‘form traveller’ terus dari China bagi mempercepatkan semula proses pembinaan.
Jambatan yang dibina merentasi Sungai Sarawak itu berukuran sepanjang 1.28 kilometer (km), dengan ketinggian 26 meter dari paras sungai serta tiang utama setinggi 119 meter. Kos keseluruhan projek dianggarkan melebihi RM360 juta.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.