SIMANGGANG: Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar II yang bakal menjadi jambatan kabel tertinggi dalam negara setelah siap nanti kini mencapai status kemajuan fizikal 45.6 peratus.
Perkembangan projek itu dibentang pada taklimat bersempena dengan lawatan kerja Timbalan Menteri Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Aidel Lariwoo di Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman, semalam.
Menerusi taklimat tersebut, Aidel berkata, status kemajuan fizikal projek Jambatan Batang Lupar II berkenaan telah mengalami kelewatan 3.23 peratus berbanding jadual asalnya iaitu 48.83 peratus.
Dari segi kewangan pula, pelaksanaan projek Jambatan Batang Lupar II berkenaan sudah pun mencapai status 47.763 peratus setakat ini berbanding jadual peratusan asal iaitu 50.68 peratus.
Projek Jambatan Batang Lupar II itu, katanya, telah menelan kos pelaksanaan sebanyak RM223,633,000 dan dilaksana oleh kontraktor yang dilantik iaitu iaitu Naim Gamuda (NAGA) dengan Opus Consultans (M) serta KTA (Sarawak), bertindak sebagai perunding.
Tarikh siap asal Projek Jambatan Batang Lupar II berkenaan sepatutnya pada 22 Mac lepas, bagaimanapun, jelasnya, sudah dirombak ke 2 Julai tahun depan atas faktor tertentu dan bakal melengkapkan jaringan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir Sarawak.
Pada taklimat berkenaan juga, Aidel menyatakan bahawa projek pembinaan jambatan kabel sepanjang 870 meter dengan ketinggian 145.5 meter itu turut merangkumi jalan akses sepanjang 2.2 kilometer.
Selain jambatan berkenaan, Aidel dan rombongan juga turut diberi taklimat mengenai beberapa pakej pembinaan jalan seperti Projek Pakej B2a, antaranya cadangan menaik taraf jalan utama Bandar Sri Aman.
Aidel beserta rombongan pada masa sama, turut diberi taklimat berkenaan pelaksanaan projek Pakej B2 Fasa I melibatkan pembinaan jalan dari Jalan Kejatau ke Jambatan Batang Lupar II termasuk laluan ke bandar Sri Aman dan Pakej B2 Fasa 2 membabitkan pembinaan simpang jalan dari Jambatan Lingga ke Pekan Lingga.
Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Residen Sri Aman Mahra Salleh, Pegawai Tadbir Khas SADA Datu Indit Bangai dan Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Minjo Simanding.
Aidel bersama rombongan kemudiannya ke tapak projek naik taraf jalan dan cadangan membina jalan baharu di bandar ini sebelum mengakhiri lawatannya ke tapak Projek Jambatan Batang Lupar II.
Oleh Valentine Ngumbang