
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah binti Awg Sohor telah mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan cadangan projek pembinaan Jalan Lingga-Banting di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA), semalam.
Beliau berkata projek terbabit adalah merupakan salah satu projek penting yang dinanti-nantikan oleh penduduk di Lingga, Banting dan kawasan sekitarnya.
“Jalan ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada kemudahan akses lebih baik antara Lingga dan Banting, memudahkan penduduk ke pekan Lingga untuk urusan ekonomi, pendidikan dan kesihatan di samping memperkukuh jaringan jalan luar bandar di Daerah Lingga,” katanya.
Dayang Noorazah berkata agensi pelaksana seperti Jabatan Tanah dan Survei, SADA, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA) serta pihak konsultan hadir bersama dalam perbincangan ini.
Ia bagi memastikan setiap aspek projek diteliti secara menyeluruh untuk mendapat kelulusan pihak Sistem Pengurusan Pembangunan dan Perancangan Negeri (eSPA).
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama semua pihak bagi memastikan projek ini dapat direalisasikan untuk kesejahteraan rakyat.
“Semoga langkah ini membawa perkembangan positif untuk rakyat Lingga, Banting dan kawasan sekitar,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman