
SARATOK: Pembinaan jalan Bajau-Kupang telah bermula selepas proses serah tapak pada 17 Januari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata pembinaan jalan raya tersebut memberikan jaringan jalan yang berturap bagi memudahkan perhubungan penduduk Kampung Kupang dan beberapa rumah panjang sekitarnya.

“Ia akan memudahkan serta menerima manfaat penduduk dari Rumah Rengan Selambong, Rumah David, Rumah Anau, Rumah Ambang, Rumah Rabiah dan beberapa lagi yang menggunakan laluan tersebut untuk menuju ke pekan Saratok.
“Ia sekali gus dapat membantu meningkatkan pertumbuhan sosio-ekonomi penduduk di kawasan tersebut menerusi penyediaan akses yang lebih baik, selamat dan selesa,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad mewakili ADUN Kalaka telah menghadiri upacara miring atas jemputan Tuai Rumah Rengan Bunyat sempena dengan pembinaan jalan Bajau-Kupang, semalam.

Mohamad Duri berharap agar pembinaan jalan Bajau-Kupang tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh yang telah dimeteraikan dalam kontrak memandangkan rakyat sudah lama menunggu jaringan jalan raya yang lebih baik.
Sementara itu, pembinaan jalan Bajau-Kupang sepanjang 20 kilometer akan dibina dalam tempoh 32 bulan. Ia juga turut melibatkan pembinaan lima buah jambatan baharu.
FDZ Engineering Sdn Bhd selaku kontraktor yang telah dilantik akan melaksanakan projek tersebut menerusi proses tender.
Mohamad Duri turut berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana merealisasikan projek ini dengan penambahan dana daripada RM90 juta kepada RM112.9 juta.
Jalan Bajau-Kupang katanya lagi dijangka siap September 2027. Skop projek termasuk menurap jalan kepada piawaian JKR R2 (16.9 kilometer) dan R1 (3.0 kilometer), sistem saliran jalan, lima jambatan dan lain-lain keperluan.
Oleh Adi Saparman