
LIMBANG: Pembinaan Kompleks Pentadbiran Bersepadu (IAC) Limbang kini telah mencapai perkembangan 67 peratus pembinaannya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata IAC dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei tahun depan dan menempatkan kompleks dan pejabat jabatan-jabatan kerajaan negeri yang baharu yang ketika ini ditempatkan di bangunan Limbang Plaza.
“Dari segi tahap pencapaian sudah menjangkau 67 peratus dan projek ini dijangka siap pada Mei 2026.
“Ini adalah kemudahan yang akan kita dapat nikmati dalam usaha kita untuk mempertingkat lagi penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan untuk kepentingan masyarakat keseluruhanya,” katanya ketika ditemui pada lawatan kerja ke tapak pembinaan Jambatan Kedua Sungai Limbang hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang, Unus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Jurutera Bahagian Limbang Mahathir Jokeni.
Beliau memberitahu apabila siap nanti, projek itu mampu mengubah wajah dan landskap pembangunan di daerah berkenaan.
Katanya, IAC itu nanti akan menjadi pusat sehenti dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti teater dan kemudahan untuk mengadakan persidangan.
Oleh Adeng Edrus