KUCHING: Pembinaan balai bomba di Sarawak tidak seharusnya dipolitikkan menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Datu Khirudin Drahman.
Katanya, kriteria bagi pembinaan balai bomba diukur dari sudut kependudukan, keduanya, aktiviti perniagaan, ketiga pula banggunan-banggunan penting kerajaan dan akhir sekali barulah faktor politik.
“Selaluni bila kita lihat faktor pembinaan balai bomba, faktor politik pula diutamakan.
“Inilah isu yang perlu kita lihat agar kita ikhlas dalam merencanakan keperluan perlindungan kebakaran secara menyeluruh terutama sekali untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.
“Pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan agar jaminan perlindungan kebakaran ini terjamin diberi kepada setiap pelusuk masyarakat tidak kira di mana mereka berada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program penyerahan peralatan kebombaan kepada komuniti Kampung Selangan Batu di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa lebih ramai masyarakat di Sarawak agar menyertai program anak angkat pili bomba bagi mengurangkan kerosakan kepada pili bomba di negeri ini.
Katanya, setakat ini terdapat 36,000 pili bomba di Sarawak dan hanya 20 peratus daripada jumlah tersebut sudah ‘di anak angkatkan’.
“Buat masa sekarang hanya 20 peratus di anak angkatkan, bermakna hanya lebih kurang 8,000 sudah di anak angkatkan.
“Ini adalah bagi menjaga pili bomba berdekatan dengan rumah kita, di curi, dirosakkan atau dihalang.
“Kami pihak bomba akan memantau setiap pili bomba yang ada di Sarawak sekali setahun, bayangkan berapa pili bomba kita perlu pantau.
“Sekiranya ada lori atau apa-apa sahaja yang menghalang pili bomba, sila maklumkan kepada kami agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” jelasnya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT