BARU-baru ini, timbul persoalan mengenai bendera manakah yang patut dikibarkan pada sambutan Hari Sarawak 22 Julai lalu. Ini kerana pada hari bersejarah bagi negeri Sarawak ini, timbul persoalan mengenai hal ini apabila ada pihak mengibarkan bendera lama Sarawak (era koloni British).
Perbuatan mengibar dan mengarak bendera lama ini sering dilakukan oleh kumpulan tertentu di Sarawak terutama pada Hari Sarawak. Hal ini pernah ditegur oleh beberapa pemimpin tempatan mengenai kewajaran mengibarkan dan mengarak bendera tersebut.
Secara umumnya bendera adalah sehelai kain yang mempunyai pelbagai bentuk dan saiz serta diikat pada tiang atau palang kayu. Ia juga mengandungi warna tertentu yang mempunyai makna tersendiri. Ada bendera yang mempunyai lambang tertentu seperti haiwan, tumbuhan dan simbol-simbol tertentu. Ada juga bendera yang mempunyai perkataan atau tulisan tertentu.
Sejarah Bendera
Bendera merupakan lambang dan identiti sesebuah negara, bangsa dan organisasi. Ia menjadi kebanggaan kepada rakyatnya mengenai wujud kesatuan dalam kalangan mereka.
Mengikut sejarahnya, bendera sering dikibarkan semasa peperangan. Adakala ia digunakan sebagai lambang kepemimpinan bagi membezakan kawan dan lawan. India dan China merupakan dua tamadun terawal mempunyai bendera. Salah satu contohnya adalah ketika Dinasti Zhou (1050-221 SM) sudah mempunyai bendera sebagai lambang kerajaan tersebut.
Selepas itu muncul beberapa lagi bendera di beberapa kerajaan. Di Amerika Syarikat, untuk mengenang penciptaan bendera negara tersebut diwartakan pada 14 Jun sebagai Hari Bendera.
Sesetengah negara pula memberi nama kepada bendera mereka seperti Jalur Gemilang (Malaysia), Union Jack (Great Britain), Merah Putih (Indonesia), Dua Kepala Helang (Albania), Emas dan Hijau (Brazil).
Bagaimana pula bendera bagi negeri kita Sarawak? Bilakah ia telah dihasilkan? Apakah bentuk bendera tersebut. Setakat penelitian mengenai hal ini, Sarawak sebelum Kerajaan Brooke tidak mempunyai bendera walaupun telah mempunyai beberapa kerajaan di beberapa sungai di Sarawak.
Begitu juga era pemerintahan Brunei, bendera awalnya tidak pernah diketahui. Bendera Brunei hari ini pula direka bentuk pada 1906 dan seterusnya ditambah panji-panji berwarna merah dengan slogan (1959).
Bendera awal
Sudah ada yang mengatakan Raja James Brooke mempunyai bendera sendiri yang dinamakan Bendera St George. Bendera ini telah dikibarkan pada 1841 di Belidah. Sejauhmanakah ini berlaku tidak pasti.
Usaha awal untuk membentuk bendera Sarawak bermula apabila Raja James Brooke bersetuju dengan reka bentuk bendera yang mempunyai palang bersilang berwarna merah dan ungu. Ada yang mengatakan merah dan biru.
Kedua-dua warna ini adalah warna lambang bagi Raja James Brooke. Latar bendera ini pula adalah warna kuning. Warna kuning diambil bagi melambangkan warna diraja bagi Pulau Borneo.
Bendera ini pada awalnya dinaikkan pada 1848 di laman rumah Raja James Brooke dengan lagu God Save The Queen dinyanyikan.
Ramai penduduk tempatan termasuk orang Barat telah berhimpun bagi menyaksikan hari bersejarah itu. Pada hari tersebut Raja James Brooke berucap dalam bahasa Melayu dan menyatakan bahawa bendera baharu Sarawak itu dikibarkan bagi melambangkan kegemilangan dan perlindungan untuk Sarawak.
Sebelum berkibarnya bendera Sarawak ini, ada usaha James Brooke untuk memohon kebenaran dari Kerajaan British untuk meletakan bendera Union Jack pada suku bendera Sarawak.
Usaha meletakan lambang Union Jack ini adalah usaha untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri naungan. Pemintaan James Brooke pada 1845 ini tidak mendapat jawapan dari Kerajaan British.
Apabila berlaku pertukaran jawatan di London pada 1846, James Brooke sekali lagi meminta Kerajaan British menerusi Viscount Palmerston dan Setiausaha Tanah Jajahan baharu, Lord Grey untuk memberi taraf naungan kepada Sarawak.
Setiausaha Lord Grey, iaitu Hawes tidak memberi jawapan pada pemintaan ini tetapi mengatakan hal ini perlu dibawa rundingan oleh Lord Grey dengan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar.
Viscount Palmerston pula menyatakan ketidaksediaan kerajaan British untuk menerima pemintaan James Brooke itu.
Sikap Kerajaan British yang tidak menunjukkan minat dengan pemintaan Raja James Brooke ini menyebabkan bendera Sarawak telah dikibarkan pada September 1848 tanpa Union Jack sebagai suku kepada bendera Sarawak.
Warna pada bendera asal Kerajaan Brooke di Sarawak ini mula bertukar pada sekitar 1870an. Warna ungu atau biru telah ditukar kepada hitam. Sebab-sebab pertukaran pula tidak diketahui.
Menjadi Jajahan
Penggunaan bendera Kerajaan Brooke di Sarawak ini terhenti apabila tentera Jepun menyerang dan menakluk Sarawak. Sejak akhir 1941 inilah Sarawak mengguna pakai bendera matahari terbit. Penggunaan bendera ini tidak kekal lama kerana Jepun menyerah kalah pada September 1945.
Selepas itu tentera Australia yang diberi tugas membebaskan Sarawak telah mengibarkan bendera mereka sendiri di Sarawak. Nasib Sarawak selepas perang bertukar tangan semula apabila Sarawak menjadi tanah jajahan.
Atas sebab itulah bendera Union Jack pula berkibar di Sarawak. Sebelum berlaku pertukaran itu dikatakan bendera Sarawak lama telah dikibarkan.
Selepas beberapa tahun penyerahan berlaku di Sarawak, bendera lama zaman Brooke dikibarkan semula dengan meletakkan mahkota pada tengah bendera berkenaan. Penggunaan lambang mahkota ini menjelaskan bahawa Sarawak dibawah jajahan British.
Pembentukan Malaysia
Apabila majoriti pemimpin Sarawak bersetuju dengan pembentukan Malaysia, usaha dibuat untuk membentuk identiti baharu untuk Sarawak. Namun demikian Sarawak mengambil keputusan mengekalkan bendera lama untuk digunakan selepas penubuhan Malaysia.
Hanya lagu negeri diubah seni katanya tetapi masih mengekalkan lagu lama semasa era Rajah Brooke. Satu pertandingan mengubah seni katanya diadakan untuk tujuan ini. Hal ini persetujui Majlis Daerah Negeri Sarawak.
Berbeza dengan Sabah (Borneo Utara) ketika itu, ada pertandingan mereka cipta bendera dan lagu bagi negeri tersebut. Pertandingan ini menawarkan hadiah berjumlah $1,000 bagi pemenang.
Perubahan
Penggunaan bendera semasa pentadbiran British di Sarawak ini mula berubah pada 1973. Perubahan ini adalah atas saranan Ketua Menteri ketika itu, Abdul Rahman Yaákub. Bendera yang dikibarkan pada 31 Ogos 1973 mempunyai ciri-ciri berlainan dengan bendera asal Sarawak.
Bendera ini menggunakan warna biru, putih dan merah. Warna biru di bahagian segi tiganya yang melambangkan perpaduan rakyat Sarawak, manakala merah di sebelah atasnya melambangkan keberanian. Putih diwarnakan bahagian bawahnya pula melambangkan kejujuran dan ketulenan.
Bendera yang kita gunakan hari ini pula adalah atas cetusan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud. Satu pertandingan mereka cipta bendera (termasuk lagu negeri) telah diadakan. Akhirnya bendera baharu dikibarkan pada ulang tahun kemerdekaan Sarawak ke-25.
Bendera ini mengembalikan warna-warna bendera asal zaman Brooke. Namun ada perbezaan dengan dua garis melintang (merah dan hitam) dari penjuru atas kiri ke penjuru bawah sebelah kanan, manakala bintang bucu sembilan diletakkan di tengah-tengah bendera itu.
Pembentukan bendera baharu ini melambangkan satu pembaharuan di Sarawak, dan melambangkan Sarawak sebagai sebuah wilayah merdeka. Oleh kerana itu, amat sesuai rakyat Sarawak menunjukkan kebanggaan ini dengan mengibar bendera melambangkan kemerdekaan Sarawak yang direka cipta pada 1988.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).