
PEMBIAYAAN politik adalah salah satu tiang seri utama yang menyokong keberlangsungan demokrasi moden.
Sumber kewangan yang mencukupi dan sah membolehkan parti politik serta calon pilihan raya merancang strategi, melaksanakan kempen, menjangkau pengundi, dan mempromosikan dasar-dasar mereka dengan berkesan.
Namun, pembiayaan politik juga merupakan pedang bermata dua, iaitu tanpa rangka kawal selia yang telus dan bertanggungjawab, ia berpotensi menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan kuasa, pengaruh tidak wajar oleh pihak berkepentingan, tercetusnya dan mewabaknya amalan nepotisme, kronisme, kolusi dan rasuah yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi politik.
Konteks Malaysia: Jurang perundangan dan persepsi awam
Di Malaysia, isu pembiayaan politik semakin menjadi sorotan umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya selepas beberapa skandal besar membabitkan tokoh politik dan sumbangan tidak diisytiharkan kepada mana-mana badan pengawal selia.
Contohnya, skandal 1MDB yang mula terbongkar pada 2015 memperlihatkan bagaimana dana dari syarikat pelaburan milik negara disalurkan secara tidak telus, termasuk dakwaan pembiayaan kempen politik dan aktiviti parti tertentu.
Kes ini bukan sahaja mencetuskan siasatan antarabangsa, malah menjejaskan reputasi Malaysia di mata dunia.

Isu Jana Wibawa pula menjadi tumpuan apabila beberapa tokoh politik dikaitkan dengan dakwaan rasuah dan penyelewengan dalam program kerajaan yang sepatutnya membantu kontraktor Bumiputera.
Ada tuduhan bahawa sebahagian peruntukan program ini digunakan bagi tujuan politik, termasuk pembiayaan kempen.
Selain itu, pendedahan mengenai sumbangan RM169 juta kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan diterima untuk kegunaan dan dana politik dan ini menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan mekanisme kawalan sumbangan politik di Malaysia.
Kes-kes seperti ini memperkuatkan hujah bahawa tanpa undang-undang pembiayaan politik yang jelas, risiko penyalahgunaan sumber awam atau dana korporat untuk tujuan politik akan kekal tinggi.
Pelan Antirasuah Nasional
Walaupun Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan pelbagai reformasi institusi telah digerakkan, negara ini masih belum mempunyai undang-undang khusus yang komprehensif untuk mengawal pembiayaan politik.
Peraturan sedia ada — seperti dalam Akta KesalahanPilihan Raya 1954 dan perlembagaan parti — hanya meliputi aspek terhad dan tidak menyeluruh dari segi pengisytiharan, pelaporan dan penguatkuasaan.
Ketiadaan kerangka undang-undang yang jelas membuka ruang kepada penyumbangan tidak rasmi, konflik kepentingan, serta persepsi negatif terhadap integriti proses politik.
Berbeza dengan negara seperti Jerman, Kanada, Indonesia, dan Korea Selatan yang telah lama memperkenalkan undang-undang khusus serta institusi pengawasan bebas, Malaysia masih mengoperasikan sistem yang berasaskan peraturan pecahan tanpa penyelarasan menyeluruh.
Keperluan pendekatan berasaskan data dan penyertaan awam. Bagi menangani jurang ini, sebarang penggubalan undang-undang pembiayaan politik memerlukan asas kukuh berasaskan bukti dan penyertaan rakyat.
Kementerian Undang-Undang telah memberi komitmen untuk memperkukuh sistem ini melalui pendekatan inklusif, adil, dan telus.
Kajian berskala nasional perlu dilaksanakan untuk memetakan pandangan rakyat terhadap sistem pembiayaan politik sedia ada, menilai tahap kefahaman dan kepuasan mereka terhadap peraturan semasa, serta mengukur kesediaan mereka menyokong reformasi undang-undang.
Pendekatan ini selaras dengan pandangan Kingdon (1995) mengenai policy windows, iaitu masa yang sesuai dan input masyarakat harus dimanfaatkan untuk membawa perubahan dasar yang signifikan.
Rahim dan Zainal (2021) juga menekankan keperluan penyelidikan forensik sistematik bagi mendapatkan gambaran tepat dan mendalam mengenai pandangan rakyat, agar reformasi yang digubal benar-benar responsif dan berkesan.
Amalan terbaik antarabangsa
Banyak negara telah berjaya membangunkan kerangka undang-undang pembiayaan politik yang kukuh.
Jerman, Kanada, Indonesia, dan Korea Selatan masing-masing mempamerkan model pembiayaan politik yang memperlihatkan keseimbangan antara ketelusan, kawalan dana swasta, dan sokongan awam yang terancang.
Di Jerman, Political Parties Act mewajibkan semua sumbangan politik diisytiharkan sepenuhnya, memastikan tiada ruang untuk dana gelap atau sumbangan yang tidak direkodkan.
Undang-undang ini disokong oleh mekanisme pembiayaan awam yang hanya diberikan kepada parti yang mematuhi syarat ketelusan ketat, termasuk pelaporan terperinci kepada pihak berkuasa dan audit berkala, seperti yang dihuraikan oleh Rosenberg (2015).
Di Kanada, Canada Elections Act bukan sahaja menetapkan had maksimum sumbangan individu, tetapi juga secara tegas melarang sumbangan daripada entiti korporat, sekali gus menghapuskan pengaruh langsung sektor korporat dalam pembiayaan parti.
Kanada turut memperkenalkan pembiayaan awam sebagai penampan untuk mengurangkan dominasi dana swasta, yang menurut Smith (2013), mampu mengekalkan persaingan politik yang sihat.
Di Indonesia, Undang-Undang No. 7 Tahun 2017 menetapkan ketelusan penuh bagi setiap sumbangan politik dan laporan kewangan parti, dengan pendedahan maklumat ini menjadi sebahagian daripada strategi nasional untuk membanteras korupsi politik.
Anindya (2019) menegaskan bahawa pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan integriti politik, tetapi juga membina kesedaran awam terhadap peranan mereka sebagai pengawas demokrasi.
Korea Selatan pula mengamalkan gabungan kaedah had sumbangan individu, penyediaan pembiayaan awam, dan pendedahan berkala nama penderma serta jumlah sumbangan dalam pangkalan data terbuka yang boleh diakses oleh rakyat, mewujudkan tahap ketelusan yang tinggi dan kebolehan semak silang oleh media serta masyarakat sivil.
Secara teoritikal, Teorell (2007) berpendapat bahawa model pembiayaan awam yang digabungkan dengan had ketat terhadap dana swasta mampu merapatkan jurang kuasa antara parti besar dan kecil, sambil mengukuhkan kesaksamaan peluang politik.
Norris (2000) pula menekankan bahawa keberkesanan peraturan pembiayaan seperti ini dapat memulih dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap proses pilihan raya, kerana rakyat diyakinkan bahawa pertandingan politik tidak dimenangi oleh pihak yang memiliki dompet paling tebal, tetapi oleh parti yang mendapat mandat tulen daripada pengundi.
Cabaran dan realiti di Malaysia
Laporan Transparency International Malaysia (2018) menggariskan bahawa cabaran utama di Malaysia ialah ketiadaan undang-undang khusus, kelemahan penguatkuasaan, dan budaya ketertutupan dalam pendedahan sumber dana politik.
Kajian Ibrahim dan Aziz (2019) pula menunjukkan bahawa dana tidak rasmi sering mempengaruhi keputusan politik dan menjejaskan kepercayaan rakyat.
Tambahan pula, laporan Institut Integriti Malaysia (2020) mendedahkan bahawa walaupun kesedaran awam terhadap kepentingan ketelusan semakin meningkat, tahap pengetahuan mereka mengenai mekanisme pembiayaan politik masih rendah.
Hal ini menghalang penglibatan bermakna rakyat dalam proses reformasi.
Maka sudah tiba masanya kajian oleh pemerintahan untuk meneroka tahap pengetahuan, kefahaman, dan keprihatinan rakyat mengenai pembiayaan politik, menilai kepuasan awam terhadap peraturan sedia ada, mengumpulkan pandangan NGO, penggubal dasar, akademik, dan pengamal undang-undang tentang bentuk reformasi ideal.
Kesemua ini penting bagi merumuskan cadangan dasar untuk menyokong penggubalan atau pindaan undang-undang berkaitan.
Pendekatan ini menggabungkan elemen penyertaan awam, iaitu melibatkan rakyat dalam proses perumusan dasar bagi memastikan hasilnya inklusif dan mendapat legitimasi sosial.
Amalan terbaik antarabangsa dan realiti tempatan
Berdasarkan ini beberapa langkah reformasi yang boleh dipertimbangkan bagi memperkukuh pembiayaan politik di Malaysia termasuklah menggubal undang-undang khusus yang menetapkan had sumbangan individu serta melarang sumbangan daripada sumber-sumber yang mempunyai kepentingan langsung dengan kerajaan, seperti kontraktor kerajaan atau pihak asing.
Selain itu, pembiayaan awam dalam bentuk matching funds wajar diperkenalkan bagi mengurangkan dominasi dana swasta dan memastikan peluang pertandingan politik yang lebih seimbang.
Malaysia juga perlu menubuhkan sebuah badan pengawasan bebas yang mempunyai kuasa penuh untuk menjalankan siasatan, audit, dan penguatkuasaan, mengikut model Electoral Commission di United Kingdom atau KNAB di Latvia.
Dalam aspek ketelusan, pendedahan awam secara berkala terhadap senarai penderma dan jumlah sumbangan melalui portal digital terbuka perlu diwajibkan, sepertimana diamalkan di Estonia, bagi membolehkan masyarakat memantau secara langsung aliran dana politik.
Di samping itu, penalti yang tegas, termasuk perampasan dana haram dan hukuman berganda terhadap penyalahgunaan dana awam, seperti yang diamalkan di Portugal, harus dijadikan sebahagian daripada kerangka undang-undang ini.
Pelaksanaan reformasi ini bukan sahaja akan meningkatkan integriti dan akauntabiliti sistem pembiayaan politik di Malaysia, malah berupaya mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi dan memastikan bahawa politik negara dibina atas asas yang bersih, adil, dan telus.
Kesimpulan
Pembiayaan politik yang telus, adil, dan dikawal selia dengan berkesan adalah prasyarat untuk demokrasi yang berfungsi.
Malaysia berada di persimpangan penting: sama ada terus beroperasi dengan kerangka longgar yang membuka ruang kepada risiko integriti, atau bergerak ke arah sistem perundangan moden yang mengimbangi keperluan dana dengan prinsip ketelusan dan keadilan.
Maka diperlukan kajian lanjut berasaskan data empirikal dan penyertaan awam akan memberikan asas kukuh untuk reformasi.
Komitmen politik yang jelas, penglibatan semua pihak berkepentingan, dan penanda aras amalan baik antarabangsa, Malaysia berpeluang membina sistem pembiayaan politik yang bukan sahaja berkesan dari segi pentadbiran, tetapi juga memulihkan keyakinan rakyat terhadap demokrasi.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)