MELAWAT… Datuk Rubiah Wang (dua kanan) melawat tapak Projek Pembesaran Kampung Endap pada Sabtu lalu.
KOTA SAMARAHAN: Projek Pembesaran Kampung Endap, Samarahan dijangka siap pada tahun depan.
Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, beliau berharap projek pembesaran kampung seperti itu dapat dilaksanakan di kawasan lain.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang meluluskan Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) di Kota Samarahan termasuk di Kampung Endap, Kampung Tambay, Kampung Sambir dan beberapa kawasan lain.
“Berbeza dengan pemberian tanah lot dahulu, projek SPS dan SPK ini turut menyediakan kemudahan lain seperti usaha menambak tapak rumah, penyediaan jalan yang lebih teratur dan kemudahan-kemudahan lain yang akan disediakan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Projek Pembesaran Kampung Endap pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rubiah berharap mereka yang terpilih menerima skim itu tidak mensia-siakan pemberian itu.
“Ini adalah kerana tidak semua berpeluang mendapatkan skim sebegini kerana mendapat permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat serta gunakanlah manfaat ini untuk membina rumah kediaman” katanya lagi.
Dalam pada itu, Rubiah turut melawat projek menaiktaraf masjid dan gelanggang sepak takraw di kampung berkenaan yang telah siap.
Turut hadir Penghulu Kampung Endap, Awang Mohamad Awang Suntong.
Oleh JEAKQLEYN YACHO