
SIBU: Tiga batang sungai di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong kini menjadi tarikan ikan terutamanya ikan tapah selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan baru-baru ini.
Pengerusi Parti Progresif Demokratik (PDP) Dudong, Datuk Teo Boon Siew berkata, sungai berkenaan iaitu Sungai Durin, Sungai Naman dan Sungai Assan yang sebelum ini sudah lama tidak dibersihkan.
“Hasil kerja-kerja pembersihan ini, ikan tapah mudik ke sungai berkenaan untuk bertelur. Keadaan ini sudah tentu memberi manfaat kepada penduduk,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk di kawasan terbabit agar terus menjaga kebersihan sungai demi kelestarian habitat sungai.
“Saya juga ada menerima aduan mengenai keadaan sungai di kawasan terbabit yang dikatakan berbau.
Esok saya akan turun padang ke Sungai Naman untuk meninjau sendiri keadaan tersebut dan mengenal pasti punca bau berkenaan,” jelasnya.
Terdahulu, Teo menyempurnakan majlis penyerahan peruntukan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Dato Sri Tiong King Sing kepada seramai 17 penerima.
Penerima adalah terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan dan gereja.
Beliau turut menasihatkan para penerima supaya menggunakan peruntukan tersebut dengan betul mengikut tujuan asal permohonan.
“Sebagai contoh, jika permohonan untuk membaiki rumah, gunakan peruntukan ini untuk membaiki rumah, jika permohonan untuk menjalankan aktiviti tahunan, gunakan bagi tujuan itu.
“Ini penting, sekira berlakunya penyalahgunaan, ia boleh menyukarkan kelulusan permohonan peruntukan pada masa akan datang,” tegasnya.
Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying serta yang lain.
Oleh Akun Giman