JAKARTA: Pemberontak di wilayah bergolak Indonesia, Papua membebaskan seorang juruterbang warganegara New Zealand, Phillip Mehrtens dari tahanan, kata polis Indonesia hari ini, selepas lebih setahun setengah dia diculik.
Mehrtens sedang bekerja untuk syarikat penerbangan Indonesia, Susi Air, ketika dia diculik oleh pemberontak di lapangan terbang Nduga pada 7 Februari tahun lalu.
“Hari ini kami telah mengambil Phillip yang berada dalam keadaan sihat dan kami membawanya dari Nduga ke Timika,” kata Ketua Unit Khas yang ditubuhkan untuk menangani pemberontak di Papua, Faizal Ramadhani, dalam satu kenyataan.
Pasukan petugas bersama polis dan tentera menjemput Mehrtens di sebuah kampung di daerah Nduga pagi ini, kata Faizal.
Tebusan yang dibebaskan itu kemudian menjalani pemeriksaan perubatan dan psikologi sebelum dibawa ke bandar Timika di Papua.
Pasukan petugas khas itu akan mengadakan sidang akhbar kemudian pada hari sama, kata Faizal.
Mehrtens bertugas menghantar penumpang dan bekalan penting kepada komuniti terpencil apabila dia diculik oleh pemberontak dikenali sebagai Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB).
Pembebasannya berlaku selepas usaha diplomatik yang intensif oleh Wellington dan Jakarta.
TPNPB menuntut Jakarta mengiktiraf kemerdekaan Papua sebagai balasan kepada pembebasan tebusan terbabit.
TPNPB juga tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai pembebasan Mehrtens.
Indonesia mengekalkan kehadiran sejumlah besar tentera di Papua yang kaya dengan sumber alam semula jadi tetapi kurang membangun, untuk mengekang pemberontakan yang berlarutan sejak sekian lama.
Serangan pemberontak di Papua meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan penerbangan adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk mencapai kawasan pergunungan yang terpencil di sana. – AFP