
SARATOK: Pemberian limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 bukan sekadar amalan tradisi, malah sarat dengan makna simbolik yang melambangkan doa kemakmuran dan tuah kepada penerimanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, dalam dialek Kantonis, limau mandarin disebut sebagai ‘Kam’ yang bunyinya menyerupai perkataan emas.
Menurut beliau, persamaan sebutan tersebut menjadikan pemberian limau sebagai lambang harapan agar penerima dilimpahkan rezeki, kekayaan dan tuah yang berpanjangan sepanjang tahun, seumpama menerima emas.
“Memberi limau bukan sekadar memberi buah, tetapi ia membawa maksud doa dan harapan yang baik kepada mereka yang menerimanya,” katanya.
Sempena menyambut Perayaan Tahun Baharu Cina 2026, beliau bersama isteri, Norlida Sharkawi, Pegawai Daerah Saratok Mohammad Dino Amid serta Pemanca Lim Guan Ann telah menyertai program pemberian limau mandarin yang berlangsung di Stesen Minyak Shell Saratok.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Mohamad Duri berkata, inisiatif seumpama itu bukan sahaja menceriakan suasana perayaan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara pemimpin dan rakyat.
Beliau menegaskan bahawa amalan saling memberi dan berkongsi rezeki ketika musim perayaan mencerminkan nilai murni yang menjadi teras keharmonian masyarakat di negeri ini.
Katanya lagi, semangat perpaduan dan kebersamaan yang ditonjolkan melalui program tersebut wajar terus diperkukuhkan demi memastikan kesejahteraan komuniti di Daerah Saratok sentiasa terpelihara.
“Semoga semangat perpaduan dan kebersamaan ini terus mekar dalam komuniti kita di Daerah Saratok, selaras dengan semangat perayaan yang membawa harapan baharu kepada semua,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman