
KUALA LUMPUR: Pemberian kewangan Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri bukanlah bantuan bersifat ihsan atau budi bicara semata-mata, sebaliknya merupakan kewajipan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, berkata perkara itu jelas diperuntukkan di bawah Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Bahagian I Jadual Kesepuluh.
“Pemberian ini bukan wang ihsan. Ia adalah kewajipan perlembagaan Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 109(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 (D.R.2/2026) di Dewan Negara hari ini.
Tambah beliau, geran tersebut dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan bagi membantu kerajaan negeri melaksanakan pentadbiran serta menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.
“Formula pemberian berdasarkan bilangan penduduk wajar dinilai semula dengan mengambil kira realiti geografi serta kos pembangunan yang berbeza antara negeri.
“Sebagai contoh, Selangor mempunyai lebih tujuh juta penduduk manakala Pulau Pinang sekitar 1.8 juta penduduk,” jelasnya.
Mengulas lanjut, sebaliknya, Sarawak mempunyai keluasan sekitar 124,450 kilometer persegi dengan populasi sekitar 2.9 juta penduduk, manakala Sabah seluas 73,904 kilometer persegi dengan populasi sekitar 3.9 juta penduduk.
“Kos membina satu kilometer jalan raya di bandar tidak sama dengan kos membina jalan di kawasan pedalaman seperti di Baram, Belaga atau Ulu Kapit.
“Begitu juga kos menyediakan kemudahan kesihatan atau infrastruktur asas di kawasan pedalaman yang hanya boleh diakses melalui sungai atau jalan balak.
“Konteks sebuah Persekutuan yang pelbagai seperti Malaysia, keadilan fiskal tidak semestinya bermaksud kesamaan jumlah, sebaliknya memastikan setiap negeri mempunyai kemampuan yang setara untuk menyediakan perkhidmatan asas kepada rakyat,” tambahnya.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan bahawa struktur kewangan Persekutuan Malaysia mempunyai asas sejarah penting dalam pembentukan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
Katanya, Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan Geran Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112C yang jumlahnya hendaklah disemak secara berkala mengikut Perkara 112D melalui rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan meneliti kemungkinan memperkukuh sistem federalisme fiskal negara melalui pendekatan lebih menyeluruh, termasuk mengkaji semula formula pemberian per kapita dengan mengambil kira faktor keluasan negeri, kos penyampaian perkhidmatan serta tahap pembangunan luar bandar.
“Kekuatan sebenar sebuah negara Persekutuan tidak hanya diukur melalui jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya sejauh mana kemakmuran negara dapat dirasai secara seimbang di seluruh Persekutuan.
“Persekutuan Malaysia dibina atas semangat perkongsian.
“Apabila semua wilayah – Semenanjung, Sabah dan Sarawak berkembang bersama secara seimbang, maka negara kita akan menjadi lebih kukuh, lebih stabil dan lebih makmur,” katanya sambil menyatakan sokongan terhadap rang undang-undang tersebut.