Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Pembentukan akhlak mulia dalam kalangan anak muda Islam
  • RENCANA

Pembentukan akhlak mulia dalam kalangan anak muda Islam

Utusan Sarawak 2 days ago
PEMANDANGAN indah cahaya matahari terbit menembusi awan di sebalik Pulau Kapas semasa tinjauan di Pantai Kekabu, baru-baru ini. Foto BERNAMA

AKHLAK mulia merupakan cerminan keimanan seseorang Muslim. Dalam Islam, nilai akhlak tidak hanya diukur melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan dan tingkah laku seharian.

Anak muda adalah generasi penerus bangsa dan agama; oleh itu, pembentukan akhlak mereka amat penting bagi memastikan kelangsungan masyarakat yang beriman, beradab dan bertanggungjawab. 

Rasulullah SAW diutus bukan sekadar membawa risalah tauhid, tetapi juga untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Malah, Akhlak ialah asas utama dalam pembentukan peribadi Muslim sejati. Dalam al-Quran, Allah SWT sering mengaitkan keimanan dengan amal soleh serta adab terhadap sesama manusia.

Akhlak yang mulia menjadikan seseorang disayangi oleh Allah SWT dan manusia, manakala akhlak yang buruk membawa kehinaan di dunia dan azab di akhirat.

Firman Allah SWT: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

“Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya) di waktu lapang dan sempit, menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali ‘Imran, 3:133–134)

Demikian itu, ciri-ciri akhlak mulia seperti bersabar, memaafkan, dan menahan marah yang amat penting untuk diamalkan oleh anak muda.

Dalam kehidupan moden hari ini, anak muda sering terdedah kepada pengaruh media sosial, hiburan melampau, dan budaya luar yang boleh melemahkan nilai akhlak.

Oleh itu, membina kekuatan dalaman melalui iman, ilmu dan penghayatan agama adalah langkah utama untuk mengekalkan akhlak yang baik.

Akhlak yang baik juga menjadi cermin keperibadian seorang Muslim. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

LANGKAH-LANGKAH MEMBENTUK AKHLAK MULIA DALAM KALANGAN ANAK MUDA

Pembentukan akhlak tidak berlaku secara spontan, tetapi memerlukan bimbingan, contoh teladan, dan suasana yang mendidik.

Antara langkah penting ialah, pendidikan agama dan mencontohi Rasulullah SAW sejak kecil merupakan asas kepada pembentukan akhlak.

Anak muda perlu dididik mengenal Allah SWT, mencintai Rasulullah SAW, dan memahami nilai halal serta haram. Rasulullah SAW ialah contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan.

Sebagaimana firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memiliki akhlak yang agung.” (Surah al-Qalam, 68:4)

Anak muda perlu menjadikan sunah Rasulullah SAW sebagai panduan hidup mencontohi cara baginda berinteraksi, bertutur, bersabar, serta menunaikan tanggungjawab dengan penuh amanah.

Apabila hati dekat dengan Allah SWT dan cinta kepada Rasulullah SAW, akhlak yang baik akan terbentuk secara semula jadi.

Seterusnya, peranan keluarga dan persekitaran membentuk nilai akhlak. Anak-anak belajar lebih banyak melalui pemerhatian terhadap tingkah laku ibu bapa berbanding kata-kata.

Oleh itu, keluarga yang menekankan solat berjemaah, bacaan al-Quran, dan adab sopan akan melahirkan generasi berjiwa lembut dan berdisiplin.

Selain itu, persekitaran sosial juga berpengaruh. Anak muda perlu memilih sahabat yang baik, kerana teman yang soleh akan mendorong kepada kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang itu menurut agama rakannya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bersahabat dengan orang yang berakhlak baik akan mendidik jiwa untuk meniru perbuatan mereka, manakala sahabat yang buruk boleh menjerumuskan kepada maksiat dan kelalaian.

Ketinggian Ilmu Saidina Ali RA 

SAIDINA Ali memiliki otak yang cerdas, lidah yang gemar bertanya, telinga yang sentiasa mendengar dan mata yang memiliki penglihatan tajam.

Beliau juga seorang yang berfikiran jauh dan mampu menyelesaikan masalah-masalah rumit yang datang padanya.

Ketika zaman Rasulullah SAW, Saidina Ali tergolong di kalangan orang-orang yang menghafal al-Quran.

Bukan itu sahaja, beliau juga mahir dengan ilmu tafsir dan takwil ayat-ayat al-Quran. Oleh kerana beliau tinggal bersama-sama Rasulullah SAW sejak dari kecil, maka amat mudah bagi beliau untuk menghafal, mempelajari dan seterusnya menguasai ilmu-ilmu berkaitan al-Quran.

Beliau berasa amat bersyukur kepada Allah SWT atas kelebihan yang diberikan kepadanya.

Saidina Ali pernah berkata, “Demi Allah, tidak diturunkan satu ayat pun kecuali aku mengetahui pada peristiwa apa, di mana dan mengenai siapa ayat itu diturunkan. Sesungguhnya Tuhanku telah memberikan padaku otak yang cerdas dan lisan yang pandai berkata-kata.”

Kata-kata yang lahir dari mulut Saidina Ali ini bukanlah satu bentuk kebanggaan diri tetapi satu bentuk kesyukuran kepada Allah SWT.

Ali juga pernah berkata, “Tanyakanlah kepadaku tentang Kitabullah. Tidak ada satu ayat pun melainkan aku mengetahui tentang sebab apakah ayat itu diturunkan, waktu yang diturunkan sama ada pada waktu malam atau siang ianya diturunkan dan diturunkan kepada Rasulullah SAW di dataran rendah atau di pergunungan.”

Disebabkan kebijaksanaan yang dimiliki oleh Saidina Ali, maka Rasulullah SAW mengutuskannya ke Yaman untuk menjadi hakim. Saidina Ali meriwayatkan bahawa, ketika Rasulullah SAW mahu menghantarkannya ke Yaman, beliau telah berkata kepada baginda

“Wahai Rasulullah, engkau mengutuskan aku ke Yaman, sedangkan aku masih muda. Engkau mengangkatku sebagai hakim padahal aku tidak mengerti hukum-hukum.”

Mendengar kegusaran Saidina Ali tersebut, maka baginda berdoa, “Ya Allah, berikanlah petunjuk ke dalam hatinya menepuk dada Saidina Ali lantas dan tetapkanlah lidahnya (tutur katanya).”

Saidina Ali berkata, “Demi Allah, sejak saat itu aku tidak pernah lagi ragu-ragu dalam memutuskan pertikaian antara dua pihak yang datang di hadapanku.”

Para sahabat juga memuji keilmuan Saidina Ali. Ramai dalam kalangan para sahabat termasuk para sahabat yang besar datang bertanyakan masalah-masalah kepada Saidina Ali.

Mereka mengambil pendapatnya dalam menyelesaikan pelbagai persoalan dan masalah.

Saidina Umar pernah berkata, “Ali adalah yang paling baik dalam memutuskan perkara di antara kami.”

Saidina Umar juga pernah berkata, “Aku berlindung kepada Allah dari masalah yang Abu Hasan (Saidina Ali) tidak menanganinya.”

Oleh Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Bahasa Korea, tulisan hangul buka peluang rezeki peniaga mangga di Anjung Kinabalu
Next: Empati – mendengar lebih daripada bercakap

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.