KUCHING: Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi meningkatkan paras air tiga empangan hidroelektrik utama di Sarawak, selain membantu mengurangkan jerebu, dimulakan hari ini dengan sesaran awal di kawasan Batang Ai sebelum bergerak ke Murum dan Bakun.
Operasi yang merupakan siri ketiga di Sarawak itu dijadualkan berlangsung sehingga 5 September ini, tertakluk kepada keadaan awan yang sesuai bagi membolehkan proses pembenihan dilaksanakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata operasi berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah air bertakung di tiga empangan hidroelektrik serta 13 kawasan tadahan air di lima bahagian di negeri ini.

“Matlamat kita adalah untuk memastikan jumlah air bertakung di tiga empangan hidroelektrik dan 13 kawasan tadahan air di lima bahagian dapat ditingkatkan.
“Jadi, kita berharap operasi ini berjaya dan dapat meningkatkan paras air di semua kawasan yang menjadi sasaran,” katanya.
Beliau berkata operasi kali ini menyasarkan kawasan Batang Ai terlebih dahulu sebelum pasukan bergerak ke Murum dan Bakun, dengan keadaan awan di sepanjang laluan akan dipantau bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembenihan.
Menurutnya, kerajaan negeri turut berharap operasi berkenaan dapat diteruskan pada 6 dan 7 September serta pada masa akan datang, mengambil kira jangkaan keadaan cuaca yang lebih panas pada Oktober yang berpotensi memberi tekanan kepada paras air.
“Kita mahu mengambil peluang untuk meningkatkan paras air sebanyak mungkin selagi keadaan cuaca masih mengizinkan,” katanya dalam sidang media khas berkenaan OPA di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuching hari ini.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan itu turut mempunyai matlamat kedua, iaitu membantu mengurangkan keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini.
“Kalau hujan turun, jerebu akan berkurangan. Jadi, kita berharap pembenihan awan ini juga dapat membantu mengurangkan jerebu.
“Namun, kita tidak boleh berjanji bahawa jerebu akan hilang sepenuhnya kerana kita perlu mengambil kira sumber jerebu yang turut datang dari luar Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata operasi pembenihan awan terdahulu yang dilaksanakan pada Mei dan Jun menunjukkan kesan positif, terutama di kawasan Murum dan Bakun, manakala kesannya di Batang Ai adalah lebih rendah.
Beliau berkata operasi kali ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MUT), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Ini adalah kerjasama semua pihak dan kita berdoa supaya operasi ini berjaya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil langkah memperkukuh respons terhadap isu bekalan air dengan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya bekalan air dihantar dalam tempoh 12 jam selepas aduan diterima.
Katanya, KPI itu terpakai bagi aduan yang diterima melalui JBALB atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kita telah menetapkan KPI bahawa selepas menerima aduan berkaitan air, sama ada daripada JBALB ataupun Jabatan Kebajikan, bekalan mesti dihantar dalam tempoh 12 jam.
“Kita juga telah menubuhkan bilik gerakan di tingkat satu untuk memantau seluruh negeri, termasuk tindak balas terhadap aduan rakyat dan tindakan menghantar bekalan air,” katanya.
Beliau berkata langkah berkenaan penting susulan masih terdapat aduan bahawa permohonan bekalan air mengambil masa sehingga tiga atau empat hari sebelum dihantar kepada penduduk yang memerlukan.
Dalam perkembangan berkaitan jerebu, beliau berkata jumlah titik panas di Sarawak menunjukkan trend penurunan dengan hanya dua lokasi direkodkan hari ini berbanding empat lokasi pada hari sebelumnya.
Katanya, keadaan itu menunjukkan tindakan pantas agensi berkaitan dalam menangani kejadian kebakaran, termasuk insiden di Senadin yang berjaya dipadamkan dalam tempoh tiga jam baru-baru ini.

“Kita berbangga kerana satu kebakaran di Senadin dua hari lalu berjaya dipadamkan dalam tempoh tiga jam hasil kerjasama semua pihak, khususnya pemilik tanah dan agensi berkaitan.
“Kita berharap tindak balas seperti ini dapat kita berikan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya menghentikan aktiviti pembakaran terbuka dan segera melaporkan sebarang titik panas kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
Katanya, tindakan pencegahan dan tindak balas pantas amat penting, terutama bagi kebakaran yang berlaku di kawasan hutan yang sukar dimasuki pasukan penyelamat.
Oleh Afiq Sallehi




