PETRA JAYA: Operasi pembenihan awan berkemungkinan dilaksanakan pada awal September ini sekiranya keadaan jerebu di Sarawak berterusan, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Beliau berkata perkara itu masih dalam pertimbangan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan keadaan jerebu dan kesannya terhadap kualiti udara di Sarawak.
“Pembenihan awan ini bukan saja untuk mengurangkan Indeks Pencemaran Udara (API) dan jerebu, tetapi juga untuk meningkatkan takungan air di empangan dan sebagainya.
“Kalau masalah ini berlarutan, ia mungkin dibuat pada awal bulan sembilan ini, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perkahwinan pasangan wartawan di Dewan Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching, di sini, hari ini.
Menurut Len Talif, keadaan bekalan air kepada rakyat Sarawak ketika ini masih terkawal, namun langkah awal perlu diambil sekiranya keadaan cuaca kering dan jerebu berlarutan.
Beliau berkata berdasarkan laporan awal Jabatan Meteorologi, keadaan jerebu berpotensi berlarutan sehingga Disember tahun ini, walaupun hujan dijangka berlaku dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak turut bersedia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi membantu menangani situasi jerebu yang dipercayai berpunca dari kawasan di Kalimantan Barat.
Katanya, usaha dan perbincangan di peringkat Sarawak serta Kerajaan Persekutuan dengan pihak Indonesia sedang dilaksanakan bagi melihat bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk meredakan keadaan.
“Memang ada perbincangan dari Sarawak. Kita dari segi peringkat pusat pun ada perbincangan supaya bagaimana kita dapat memberi bantuan untuk meredakan keadaan.
“Kita akan menawarkan apa juga bantuan mengikut kapasiti kita, tetapi ia juga bergantung sekiranya kita dipohon untuk memberikan bantuan tersebut,” katanya.
Len Talif berkata Sarawak sentiasa terbuka untuk membantu Indonesia sekiranya diperlukan, selain berharap kerjasama daripada pihak berkuasa negara jiran dapat membantu menangani punca jerebu berkenaan.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka, terutama golongan berisiko tinggi serta warga emas, berikutan bacaan API yang meningkat.
“Kita menyarankan bukan untuk anak-anak saja tetapi untuk kita semua. Lebih-lebih lagi apabila API ini mencapai 300 hingga 400, memang kita menasihatkan supaya berjaga-jaga dan juga memakai pelitup muka, terutama sekali mereka yang berisiko tinggi.
“Kurangkanlah aktiviti di luar rumah,” katanya.
Beliau turut menegaskan aktiviti pembakaran terbuka di Sarawak masih dalam kawalan dan menggesa semua pihak memainkan peranan bagi memastikan bacaan API tidak terus meningkat.
Oleh Shahrul Qaizat




