PUTRAJAYA: Belanjawan 2025 telah mengumumkan peruntukan RM87.1 juta untuk permbelian ubat SGLT2i yang akan memanfaatkan 280,231 pesakit diabetes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam kenyataan hari ini beliau berkata ia bagi mengurangkan komplikasi pesakit diabetes termasuk komplikasi kardiovaskular dan buah pinggang yang menelan belanja lebih tinggi.
“Pendekatan ini adalah selari dengan anjakan Kementerian Kesihatan (KKM) daripada ‘sick-care’ kepada ‘health-care’ dalam memastikan keberkesanan dan kemampanan sistem kesihatan negara untuk jangka panjang,” katanya.
Dzulkefly berkata KKM juga akan melancarkan laporan Prevention and Control of Noncommunicable Diseases in Malaysia: The Case for Investment 2021, iaitu satu usaha sama dengan Bank Dunia (World Bank) pada 14 Nov ini.
Beliau berkata Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030 yang dilancarkan pada 29 Jun lepas mengandungi enam strategi utama dengan 38 inisiatif dan 65 aktiviti yang merangkumi polisi, advokasi dan kerjasama awam-swasta secara menyeluruh.
Dzulkefly berkata penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan penyakit pernafasan kronik, adalah pembunuh senyap dan ia menyumbang kepada 72 peratus daripada jumlah kematian pramatang di Malaysia.
“Bebanan penyakit jauh melangkaui soal kesihatan rakyat, malah turut memberi beban kepada ekonomi negara,” katanya.
Memetik laporan Prevention and Control of Noncommunicable Diseases (NCD-penyakit tidak berjangkit) in Malaysia: The Case for Investment 2021, beliau berkata jumlah keseluruhan beban ekonomi bagi empat NCD iaitu penyakit kardiovaskular, metabolik terutamanya diabetes, kanser dan respiratori kronik, dianggarkan sebanyak RM 64.2 billion.
“Beban ekonomi ini merangkumi kos langsung penjagaan kesihatan yang dibelanjakan oleh kerajaan sebanyak RM 12.4 bilion setiap tahun, serta kos tidak langsung akibat kehilangan produktiviti akibat ketidakhadiran (absenteeism), kehadiran tetapi kurang produktif (presenteeism), dan kematian pramatang,” katanya.
Dzulkefly berkata isu presenteeism dan absenteeism sering timbul akibat komplikasi diabetes seperti keletihan, penglihatan kabur serta peningkatan risiko jangkitan, dan penyakit kardiovaskular serta diabetes sahaja menyebabkan kerugian RM1.8 bilion dari segi ketidakhadiran, manakala presenteeism sebanyak RM30.2 bilion.
“Dalam jangka panjang, ini menyebabkan kerugian ekonomi yang besar bagi negara akibat kemerosotan prestasi tenaga kerja, produktiviti dan daya saing ekonomi, kerana pesakit diabetes mungkin mengalami kesukaran untuk memberikan tumpuan atau memenuhi keperluan kerja yang intensif,” katanya.– BERNAMA