KAPIT: Sesetengah peniaga mengehadkan penjualan minyak masak paket bagi mengekang pembelian panik susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kapit, Al-Redzamani Abdul Razak berkata, terdapat peniaga membenarkan pelanggan membeli produk itu dalam jumlah tertentu.
Menurutnya, ia susulan arahan yang dikeluarkan pada 19 Januari lalu berkenaan had pembelian minyak masak paket maksimum hanya 3 paket untuk seorang pelanggan.
“Ada antara peniaga dan pengusaha pasar raya hanya membenarkan pembelian tiga kilogram minyak masak paket bagi setiap pelanggan dan ia tidak menyalahi peraturan,” jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau menjelaskan, tiada isu kekurangan bekalan barang keperluan asas termasuk minyak masak paket dan minyak masak berbotol di sekitar Kapit sejak kerajaan mengumumkan PKPB, berkuat kuasa 18 Januari lalu lalu.
Berkenaan kekurangan minyak masak paket, pihak penguat kuasa KPDNHEP akan berhubung terus dengan 10 peruncit terpilih yang dilantik sebagai Dedicated District Retailer (DDR) sekitar Bahagian Kapit termasuk Daerah Song dan Daerah Belaga jika terdapat masalah daripada punca bekalan yang rata-ratanya daripada pembekal atau pemborong-pemborong di Sibu.
Tambah beliau, Bahagian Kapit tidak mempunyai syarikat-syarikat pembungkus minyak masak dan pemborong menyebabkan peniaga-peniaga di Kapit bergantung kepada bekalan daripada Sibu, bukan sahaja minyak masak paket tetapi termasuk barang keperluan asas lain seperti tepung gandum, gula pasir dan beras.
“Bagaimanapun, Bandar Kapit sendiri terdapat beberapa kedai runcit yang dilantik menjadi Point of Sales dibawah Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan bagi memastikan keberadaan bekalan minyak masak paket di pasaran.
“Minyak masak paket 1kg dijual pada harga RM2.50 sen yang ditetapkan dalam Program Skim Rasionalisasi Subsidi Harga Minyak (COSS),” katanya.
Sementara itu, tinjauan pemantauan pematuhan harga barangan bersama pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP di beberapa premis di sini, mendapati harga barangan masih tidak melebihi harga ditetapkan kerajaan terutama di beberapa Point of Sales yang termasuk dalam Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan Asas.
Untuk kestabilan bekalan, pihak peniaga dinasihatkan mencetak dan mempamerkan notis had jualan minyak masak paket yang jelas kepada pengguna.
“Setakat hari ini, KPDNHEP Kapit belum lagi menerima sebarang aduan berkenaan kekurangan bekalan keperluan asas, kenaikan harga dan pembelian panik sejak 1 Januari lalu” ujarnya lagi.
Katanya, peniaga diberi amaran agar jangan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga yang melampau semasa PKPB dan diharapkan semua peniaga dapat mematuhi peraturan perniagaan yang telah ditetapkan.
Menurutnya lagi, sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan kepada Kementerian ini melalui pusat panggilan di talian 1800 886 800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU dan juga WhatsApp ke 019-279 4317.
“Bilik gerakan ‘Enforcement Command Centre’ KPDNHEP cawangan Kapit dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja dan boleh dihubungi di talian 084-799678 untuk menyalurkan apa-apa aduan,” ujarnya.
Oleh AKUN GIMAN