KUCHING: Setiap pelanggan telah dihadkan untuk membeli minyak masak pek polibeg 1 kilogram tiga unit untuk setiap transaksi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Sarawak (KPDNHEP) telah memutuskan membenarkan penjual runcit mengenakan had pembelian minyak masak terbabit untuk setiap pelanggan.
Menurut penjaga kedai runcit, Amira, had pembelian minyak masak terbabit adalah wajar bagi mengehadkan pembelian borong.
“Di kedai kami, pelanggan dihadkan tiga unit untuk setiap pembelian sahaja. Ini bertujuan bagi menselaraskan setiap pembelian pelanggan.
“Kadang-kadang ada pelanggan yang membeli sehingga 10 pek polibeg dan ada yang sampai satu kotak.
“Jadi dengan perkara sedemikian, sesetengah pelanggan tidak berkesempatan untuk membeli minyak masak tersebut.
“Sehingga kini, ada pelanggan yang membawa saudara mara dua sehingga tiga orang, untuk membuat pembelian minyak masa tersebut, tapi ini adalah di luar kawalan kami sebab, prosedur hanya menetapkan tiga unit setiap transaksi pelanggan,” katanya.
Amira berkata, minyak masak pek polibeg 1 kilogram kini memang susah untuk didapati dan terhad.
“Memang susah untuk didapati, kerana bekalan pek polibeg sangat terhad kepada setiap penjual kedai runcit. Bekalan pek polibeg kami pun dalam 40 kotak sebulan kadang-kadang sampai tiga bulan sebab bekalan amat terhad bukan sahaja kepada penjual kedai runcit malah kepada semua peniaga,” ujarnya.
Di samping itu, Amira memberi saranan kepada semua pelanggan agar bijak dalam membuat pembelian bagi kepentingan semua rakyat.
“Bagi pembeli minyak masak tersebut, hendaklah bijak dalam membuat pembelian, beli untuk sekadar keperluan sahaja, agar dapat di beli oleh kesemua pelanggan,” katanya.
Oleh AMINAH WASLI