DALAT: Pembelajaran dan pengajaran bersemuka adalah terbaik dan efektif dalam menjanakan ilmu dalam kalangan murid-murid.
Menurut Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak, Datu Dr. Badiozaman Tuah, kaedah konvensional itu tetap menjadi pilihan.
“Memang tidak boleh dinafikan bahawa bersemuka adalah yang terbaik apabila kita bercakap tentang pembelajaran dan pengajaran.
Namun kita semua terpaksa akur dengan keadaan semasa yang tidak membolehkan kaedah konvensional itu dilaksanakan demi menjaga keselamatan kesihatan murid dan rakyat jelata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada Majlis Perasmian Dalat Waterfront Fasa 2 dan BazaarNita Fatima yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Majlis yang dikatakan terbesar di Daerah Dalat semenjak Pandemik Covid-
19 melanda dunia itu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Tambahnya, kaedah atas talian, selain daripada capaian internet yang stabil diperlukan ada kekangan lain yang boleh menyumbang kepada ketidakberkesanannya.
“Pertama yang penting adalah capaian internet atau telekomunikasi stabil untuk membolehkan pelajar kita menerimanya atau berintraksi dengan guru mereka.
Jika capaian internet itu okay,perkara lain yang boleh menjadi kekangan ialah gadjet itu sendiri dan pelajar berkenaan harus mempunyai peralatan yang berfungsi dengan baik seperti yang diharapkan mengelakkan gangguan dari segi penerimaan,”ujarnya.
Tambah beliau lagi, bagi pelajar yang kurang berkemampuan mereka mungkin menggunakan telefon pintar ibu bapa mereka untuk tujuan pembelajaran itu.
Dan oleh yang demikian,katanya, ia boleh menjejaskan penggunaan gajet itu yang seharusnya digunakan untuk perhubungan harian ibu bapa mereka dengan perkara lain namun demi pendidikan anak-anak perkara
itu mungkin dikeduakan.
Sementara itu, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie, juga bersetuju dengan pendapat Dr Adi terutama sekali melibatkan
pelajar di pedalaman yang pada lazimnya capaian internet yang agak meragukan.
Bagaimanapun, mereka tetap akur dengan keadaan semasa yang telah memaksa pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan sebegitu rupa dengan menyatakan bahawa kaedah atas talian boleh dikatakan lebih praktikal dan selamat dalam kita mendepani krisis Covid-19 ini.
Dalam masa sama mereka juga menekankan tentang pentingnya untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa demi keselamatan kesihatan bersama.
Faktor lain yang mungkin menyumbang ke arah kelemahan tersebut ialah soal kelaziman seseorang pelajar di luar lingkungan sekolah mungkin tidak memberi tumpuan ke tahap semaksima mungkin, termasuk tindak balas semasa pembelajaran dan pengajaran atas talian.
Oleh HENRY B SIYU