
MIRI: Kejayaan pelaksanaan pembedahan otak secara sedar di Hospital Miri disifatkan sebagai satu pencapaian besar hasil usaha bersepadu pelbagai pihak dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan di wilayah utara Sarawak.
Pengarah Hospital Miri, Jack Wong berkata, kejayaan tersebut merupakan manifestasi komitmen tinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dalam memastikan penyediaan perkhidmatan kepakaran pembedahan otak di hospital berkenaan.
Menurut beliau, usaha itu melibatkan penyediaan pakar bedah, pasukan sokongan terlatih serta penggunaan peralatan pembedahan saraf yang canggih bagi memastikan prosedur dapat dijalankan dengan selamat dan berkesan.
“Pembedahan kompleks seperti ini menuntut tahap kompetensi tinggi dalam kalangan pasukan perubatan, selain memerlukan perancangan yang rapi serta penjagaan berterusan sebelum dan selepas pembedahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Tambah beliau, kejayaan tersebut turut mencerminkan peningkatan berterusan kualiti rawatan kepakaran di hospital-hospital KKM yang kini mampu menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia.
“Ia memberi manfaat besar kepada rakyat kerana pesakit kini boleh menerima rawatan kompleks berhampiran tempat tinggal mereka tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan utama,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pencapaian ini menjadi langkah penting ke arah desentralisasi perkhidmatan kepakaran di Malaysia, sekali gus membuktikan hospital di peringkat negeri dan wilayah berupaya mengendalikan kes neurosurgeri yang mencabar.
Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan berpusatkan pesakit akan terus menjadi keutamaan dalam usaha meningkatkan akses dan kualiti rawatan kesihatan.
Beliau turut mendoakan agar pesakit yang menjalani pembedahan tersebut diberikan kekuatan serta dikurniakan kesembuhan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Hospital Miri menerusi hantaran di laman Facebook rasminya memaklumkan bahawa pihaknya berjaya melaksanakan pembedahan otak secara sedar yang pertama di wilayah utara Sarawak, sekali gus meningkatkan akses rawatan neuro canggih kepada penduduk setempat.
Prosedur berkenaan dilakukan pada 11 Mac lalu oleh pakar bedah saraf, Dr. Manvinder Singh Mangat dan Dr. Lim Swee San bersama pasukan multidisiplin yang terdiri daripada pakar bius neuro, Dr. Peter, ahli neurofisiologi, Khalid serta pasukan bilik pembedahan hospital itu.
Menurut kenyataan, pesakit berkenaan mengalami sawan sebelum imbasan MRI mengesan ketumbuhan otak jenis low-grade glioma di bahagian kiri superior temporal, iaitu kawasan penting untuk fungsi pertuturan.
Bagi memastikan ketumbuhan dapat dibuang tanpa menjejaskan keupayaan bercakap, pasukan perubatan melaksanakan pembedahan secara sedar menggunakan teknik elektrokortikografi (ECoG) dan pemetaan fungsi otak.
“Sepanjang prosedur, pesakit berada dalam keadaan sedar bagi membolehkan pemantauan pertuturan dilakukan secara masa nyata. Ini membantu pakar bedah membuang ketumbuhan secara maksimum tanpa menjejaskan fungsi penting,” menurut kenyataan itu.
Pembedahan tersebut berjaya dilaksanakan dengan pesakit dibenarkan pulang hanya dua hari selepas prosedur tanpa sebarang gangguan pertuturan.
Oleh Liong Chai Ling