
KUCHING: Pembantu khas kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching, George Lam, cedera dalam satu kejadian di Pasar Basah Sungai Maong pagi ini selepas terpijak penutup lubang pembetung yang telah berkarat dan longgar.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika beliau mengiringi Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen, untuk bertemu para peniaga di pasar berkenaan. Penutup lubang tersebut tiba-tiba runtuh, menyebabkan beliau terjatuh ke dalamnya.
“Syukur saya hanya mengalami kecederaan ringan, namun keadaan ini boleh menjadi lebih serius. Seorang wanita warga emas yang berada di sebelah saya mungkin boleh mengalami kecederaan parah,” katanya.
Beliau berkata, pasar tersebut baru sahaja dinaik taraf oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara tahun lalu, namun keadaan penutup lubang itu sudah mula rosak.
George Lam menggesa pihak Dewan Bandaraya menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan pasar serta membaiki atau menggantikan penutup yang rosak bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Beliau turut membangkitkan isu gangguan burung di medan selera tingkat dua, di mana pelanggan masih berdepan masalah najis burung yang jatuh ke atas makanan, sekali gus menimbulkan risiko kebersihan.
“Pasar ini sepatutnya menjadi contoh dari segi kebersihan. Tindakan segera perlu diambil bagi menangani isu keselamatan dan kebersihan demi memastikan persekitaran yang selamat dan bersih untuk semua,” katanya.
Oleh Connie Chieng