
KUCHING: Isu berkaitan halangan yang timbul di tapak projek Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) atau Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) di kawasan deretan kedai Tabuan Stutong berjaya diselesaikan secara harmoni dalam tempoh sejam hasil campur tangan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.
Tindakan pantas itu diambil susulan aduan daripada pengusaha peruncitan yang menjalankan perniagaan di tingkat bawah sebuah lot kedai di kawasan berkenaan.
Beliau memaklumkan bahawa kedainya akan terjejas teruk sekiranya halangan konkrit setinggi kira-kira empat meter yang dirancang akan dipasang oleh kontraktor Sarawak Metro itu diteruskan kerana ia akan menghalang akses utama ke premis perniagaan tersebut.
Bimbang dengan penurunan mendadak jualan akibat sekatan itu, pengusaha dan pemilik bangunan tersebut telah berjumpa dengan pihak Sarawak Metro serta kontraktornya dalam satu sesi perbincangan yang turut disertai oleh Dato Wee.
Perbincangan tersebut berlangsung secara terus di lokasi dan menyaksikan semua pihak mencapai kata sepakat menerusi pendekatan saling bertolak ansur.

Hasilnya, kontraktor Sarawak Metro bersetuju untuk mengubah reka bentuk halangan tersebut agar tidak lagi menghalang pintu utama kedai terbabit sekali gus memberi laluan kepada kelangsungan operasi perniagaan di premis berkenaan sepanjang tempoh pembinaan KUTS.
Dato Wee menegaskan bahawa setiap projek pembangunan sama ada dilaksanakan oleh sektor swasta mahupun agensi kerajaan mestilah dilaksanakan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan tanpa menjejaskan kehidupan harian penduduk dan peniaga tempatan.
“Sebagai Datuk Bandar, saya bertanggungjawab untuk mendengar serta membantu menyelesaikan kebimbangan rakyat yang mungkin terkesan akibat pelaksanaan projek oleh agensi kerajaan.
“Kita perlukan pembangunan, namun bukan sampai mengabaikan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini,” katanya di dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir ahli politik yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu ART dan KUTS demi meraih publisiti murahan berbanding tampil membantu menyelesaikan masalah rakyat dengan penuh keikhlasan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How, Kaunselor Eric Tay serta para pemimpin komuniti yang hadir memberi sokongan serta keprihatinan terhadap isu berkenaan.