KENANGAN… Dr. Annuar Rapa’ee merakam kenangan selepas merasmikan program Malaysia Techlympics 2022 Peringkat Zon Malaysia Timur (Sarawak) di Sibu, semalam.
SIBU: Kerajaan Sarawak amat mengambil berat tentang pembangunan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi melahirkan rakyat yang berpengetahuan dalam bidang sains.
Timbalan Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Dr. Annuar Rapa’ee berkata, ini kerana tiada jalan lain untuk bersaing dan menggunakan sepenuhnya sumber asli negeri ini tanpa mempunyai rakyat yang mempunyai pengetahuan dalam sains.
“Sebab itu, Kerajaan Sarawak melabur banyak bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi dari segi usaha memperkasakan pelajar kita dalam bidang STEM dan salah satu contohnya ialah mempunyai Pusat Sains sendiri yang diharap siap dalam dua atau tiga tahun,” jelasnya semasa berucap merasmikan Malaysia Techlympics 2022 PeringkatZon Malaysia Timur (Sarawak), hari ini.
Dr. Annuar yang juga Ahli Dewan UndanganNegeri (ADUN) Nangka berharap ibu bapa dapat memupuk minat anak-anak mereka terhadap STEM kerana sabje kini terutamanya Matematik dan Sains merupakan sabjek yang paling logic dan mudah untuk mendapat markah.
“Sains adalah sabjek yang boleh diterjemahkan kepada teori dan amali, sebab itu kita kena tingkatkan minat pelajar kita.
“Minat ini sering dielakkan kerana takut gagal. Malah, dalam matematik dan sains, jika kita asuh dari awal, mustahil mereka tidak dapat menguasai sains dan matematik.
“Bagi saya semua orang dilahirkan sama dan selagi anda banyak menekankan pada matematik dan sains anda akan menjadi cemerlang dalam dua mata pelajaran ini,” ujarnya.
Beliau memberitahu, MEITD dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus bekerjasama memperkukuh serta mengembangkan semua bentuk kemudahan dalam bidang STEM.
Katanya, mereka memastikan usaha itu akan dapat memberi manfaat kepada pelajar khususnya di kawasan luar bandar memandangkan STEM amat penting dalam Revolusi Perindustrian 4.0.
“Sememangnya hasrat Kerajaan Sarawak amat mementingkan bidang sains apatah lagi dalam dunia hari ini. Bukan sahaja Pendidikan malah ekonomi, banyak bergantung kepada inovasi atau bidang sains berasaskan revolusi industri 4.0.
“Masyarakat perlu belajar sains, iaitu STEM, supaya kita tidak ketinggalan dalam arus perkembangan daripada orang lain,” tegasnya.
Berucap sama pada program tersebut, Penolong Setiausaha Kementerian Kebudayaan dan Sains, Perkhidmatan Teknologi dan Inovasi, Dr. K Nagulendran berkata, sekitar 1,000 pelajar dari Sarawak menyertai Techlympics.
Katanya, sehingga kini seramai lebih 1,028,983 rakyat Malaysia berumur antara tujuh hingga 30 tahun telah mendaftar untuk menyertai pelbagai jenis pertandingan dan sesiperkongsian program Malaysia Techlympics sejak dilancarkan oleh perdana menteri Mac lalu.
“Saya berharap apabila Bajet 2023 diumumkan lebih banyak peruntukan akan diperuntukkan kepada program yang bertujuan merangsang aktiviti sains, teknologi dan inovasi negara (STI) melalui pembelajaran berasaskan pengalaman bagi melengkapkan pembelajaran bukan formal sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, atau STEM dalam kalangan peserta,” ujarnya.