
SIBU: Pelaksanaan Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek yang meliputi kawasan lebih 323 hektar dijangka menjadi pemangkin utama kepada fasa baharu pembangunan ekonomi bandar ini apabila projek pembaharuan bandar terbesar di Sarawak itu disasarkan untuk dilancarkan tahun ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang, berkata selepas melalui tempoh kajian, tinjauan dan perancangan selama hampir empat tahun, tahun ini diyakini menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan fizikal projek berkenaan.
Menurutnya, pembangunan semula Bukit Assek bukan sahaja bakal mengubah landskap bandar Sibu, malah membuka lembaran baharu kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk rakyat pelbagai latar belakang.
“Ini merupakan projek pembaharuan bandar terbesar pernah dilaksanakan di Sarawak dan satu rahmat besar kepada Sibu hasil visi kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian dan Upacara Menghidupkan Mata Singa (Lion Eye-Dotting) di Tokong Tua Pek Kong di sini, hari ini.


Tiang turut berharap agar projek pembangunan utama di Sibu, khususnya Bukit Assek, dapat direalisasikan sepenuhnya dan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan jangka panjang rakyat serta memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
“Saya harap agar pembangunan Sarawak terus dipacu dengan semangat, kelajuan dan daya tahan, seiring simbolik Tahun Kuda,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa projek infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan turut mencatat perkembangan positif apabila kerja naik taraf Jalan Ling Kai Cheng dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung bulan ini.
Selain itu, projek naik taraf Jalan Ulu Sungai Merah pula disasarkan untuk disiapkan pada awal Mei depan, sekali gus menamatkan masalah kesesakan trafik, jalan berlubang dan gangguan aliran lalu lintas yang sering berlaku, khususnya ketika sesi persekolahan bermula.
“Saya ingin memberi jaminan kepada semua pengguna jalan raya bahawa tahun ini merupakan kali terakhir mereka perlu berdepan pengalaman kurang selesa di Jalan Ulu Sungai Merah kerana selepas Mei, jalan ini akan dinaik taraf kepada jalan berkembar,” katanya.
Beliau menambah, pelaksanaan projek berkenaan kini berjalan mengikut jadual dan dijangka memberi kesan besar terhadap kelancaran pergerakan serta kualiti hidup penduduk setempat.
Oleh Tarani Lanting