BEKENU: Pembangunan Sarawak bukan hanya bergantung kepada kemajuan fizikal dan ekonomi, tetapi turut memerlukan pengukuhan nilai akhlak, perpaduan dan kemanusiaan.
Maka itu, sifat rahmat yang dibawa Nabi Muhammad SAW perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian melalui amalan kasih sayang, saling menghormati, membantu golongan yang memerlukan serta menjaga keharmonian masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran dan penangguhan rasmi sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Subis 1448 Hijrah/2026 Masihi di Masjid Al-Muttaqin, di sini, hari ini.
Katanya, Umat Islam di Sarawak perlu terus menjadi contoh kepada masyarakat lain dalam usaha membangunkan negeri yang maju dan makmur.
“Walaupun kita berbeza latar belakang, tetapi dalam soal membangunkan masyarakat dan menjaga kesejahteraan rakyat, kita mempunyai tanggungjawab yang sama atau tanggungjawab bersama.
“Nilai tersebut amat penting dalam konteks masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, ‘Ummah Maju Makmur’ amat bertepatan dengan cabaran semasa yang memerlukan umat Islam memperkukuh jati diri dalam mendepani perkembangan teknologi dan dunia tanpa sempadan.

“Kemajuan ummah bukan sekadar pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya perlu disokong pembangunan modal insan yang kukuh dari segi ilmu, akhlak dan nilai keagamaan,” jelasnya lagi.
Pada sambutan itu, tahun ini menghimpunkan 48 kontinjen membabitkan agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan, sekolah, JKKK kampung serta masjid dan surau selain penilaian Pertandingan Sepanduk dan penyampaian Penghargaan Bakti Ummah.
Oleh Adum Liu




