
SERIAN: Pembangunan Sarawak pada masa hadapan perlu berteraskan ilmu yang seimbang antara kemajuan fizikal dan nilai kerohanian, selari dengan ajaran al-Quran yang menjadi panduan kehidupan sejagat.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, al-Quran bukan sekadar kitab ibadah, malah mengandungi asas ilmu yang menyeluruh merangkumi pembangunan insan, ekonomi dan pembinaan tamadun, yang wajar dihayati serta diaplikasikan dalam konteks kehidupan moden.
“Segala ilmu yang dituntut oleh umat manusia terkandung dalam al-Quran. Ilmu inilah yang menjadi pedoman untuk kita membangunkan kehidupan, ekonomi dan tamadun secara berlandaskan hikmah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65 Tahun 1447H/2026M di Pusat Konvensyen Serian, semalam.

Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen kerajaan Sarawak untuk memperkukuh pembangunan modal insan melalui pendidikan tinggi yang inklusif, dengan memastikan peluang menimba ilmu diberikan kepada semua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang agama.
“Kita menyediakan pendidikan universiti kepada semua anak Sarawak, sama ada Islam atau bukan Islam, kerana ilmu tidak mempunyai sempadan.
“Apabila digabungkan, kepelbagaian ini menjadi kekuatan untuk membangunkan Sarawak,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengumumkan perancangan kerajaan negeri untuk membina sebuah Pusat Pembangunan Islam di Petra Jaya yang bakal berfungsi sebagai hab ilmu al-Quran dan pusat pengembangan pengetahuan.

Menurutnya, pusat berkenaan bukan hanya akan memberi manfaat kepada umat Islam, malah berperanan sebagai platform perkongsian ilmu sejagat yang boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat.
“Ilmu al-Quran bersifat universal dan boleh menyumbang kepada kesejahteraan manusia secara keseluruhan.
“Pusat ini diharap dapat melahirkan pemikiran baharu yang relevan dengan cabaran semasa,” ujarnya.
Beliau menambah, penganjuran majlis tilawah al-Quran setiap tahun bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi peringatan kepada masyarakat agar terus menjadikan ilmu sebagai asas kepada pembangunan Sarawak yang seimbang dan berterusan.
Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Sarawak Ke-65 Tahun 1447H/2026M yang menghimpunkan qari dan qariah terbaik dari seluruh negeri berlangsung hari ini hingga 7 Februari, dengan penyertaan peserta dalam kategori tilawah dan hafazan yang dinilai oleh barisan jemaah hakim berpengalaman.
Kemuncak majlis penyampaian hadiah dijadualkan berlangsung pada 7 Februari dan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Oleh Masrin Affirah