Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Pembangunan Julau kekal jadi keutamaan Larry
  • Tengah
  • WILAYAH

Pembangunan Julau kekal jadi keutamaan Larry

Utusan Sarawak 13 hours ago
AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berucap di majlis Ngiling Tikai Rumah Japar di Nanga Kemalih, semalam. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU: Pembangunan di kawasan Julau kekal menjadi keutamaan, meskipun landskap politik negara kini semakin sukar diramal, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Katanya, tumpuan utamanya adalah memastikan lebih banyak pembangunan dan manfaat dapat dibawa kepada rakyat Julau tanpa dipengaruhi spekulasi politik.

“Saya komited untuk terus membawa kebajikan dan manfaat kepada rakyat tanpa mengira spekulasi politik, tetapi membawa lebih banyak pembangunan kepada kawasan Julau.

“Bagi saya, situasi politik negara sekarang semakin sukar untuk diramal, seperti yang dapat dilihat pada pilihan raya negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya selepas menghadiri majlis Ngiling Tikai Rumah Japar di Nanga Kemalih, semalam.

Katanya, pendekatan turun padang secara berterusan membolehkan beliau memahami sendiri keperluan dan cabaran yang dihadapi penduduk, serta memudahkan usaha mencari penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.

“Oleh itu, saya memilih untuk terus mendekati rakyat untuk memahami secara langsung keperluan dan cabaran yang mereka hadapi.

“Selain itu, lawatan berterusan kepada rakyat adalah kerana ia menjadi tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk mendengar sendiri rintihan rakyat dan mencari jalan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan oleh komuniti.

“Julau adalah kawasan yang luas. Sebab itu saya sentiasa keluar menziarahi rakyat supaya dapat berjumpa seramai mungkin penduduk dan memastikan setiap suara rakyat didengari,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan projek-projek berskala besar memerlukan sokongan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya juga menjelaskan bahawa projek-projek besar memerlukan sokongan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, dan saya sentiasa mewakili rakyat di Julau untuk menyuarakan kebimbangan di peringkat Parlimen,” katanya.

Katanya, antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembinaan Klinik Julau, pembinaan empat sekolah usang, cadangan pembinaan Balai Bomba yang kini dalam proses mengenal pasti tapak yang sesuai, pelaksanaan projek bekalan air bersih, pembinaan Jalan Mujok menggunakan dana Kerajaan Persekutuan dan usaha mempertingkatkan liputan internet di kawasan Julau.

Selain itu, beliau memaklumkan sebanyak RM4 juta diperuntukkan setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, di samping terus menggunakan platform Parlimen untuk membangkitkan isu dan keperluan pembangunan Julau.

Di majlis tersebut, Larry turut menyampaikan peruntukan berjumlah keseluruhan RM80,400 kepada lapan penerima, iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Japar, JKKK Rumah Lanau di Sungai Paku Kemalih, JKKK Rumah Kedit di Sungai Buloh, JKKK Rumah Gasah di Nanga Kemalih, JKKK Rumah Jalang di Nanga Bayu, Rumah Dudom Kakup, JKKK Rumah Ukan di Bukit Kopi serta Biro Wanita Rumah Japar bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan pembangunan masyarakat.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Kerajaan Sarawak salur RM50,000 perkasa projek sawit komuniti Langkang Ulu
Next: Rumah Lingu terima RM200,000 untuk kerja naik taraf

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.