MIRI: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Jalan Marudi ke Mulu yang mana akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pembinaan jaringan perhubungan ini akan merancakkan industri pelancongan di Miri yang mana secara langsung akan meningkatkan pembangunan ekonomi penduduk setempat.
Katanya, inisiatif ini bertepatan dengan pengisytiharaan dua tapak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di kawasan Miri iaitu Taman Negara Niah dan Taman Negara Gunung Mulu.
“Dua tapak UNESCO di Miri iaitu Taman Negara Niah dan Taman Negara Gunung Mulu telah menjadi tarikan pelanconga, maka sebab itu Kerajaan Sarawak akan membuat dan menyediakan infrastruktur jalan raya daripada Miri ke Marudi dengan siapnya Jambatan Marudi ini.
“Setelah itu, kita akan membangunkan jalan baharu iaitu dari Marudi terus ke Long Terawan dan seterusnya terus ke Mulu.
“Maknanya, dalam tempoh dua tahun lagi, rakyat kita di sini akan mempunyai jalan raya baharu dari Marudi terus ke Mulu yang memakan masa hanya satu jam setengah,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Raya Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Melayu Miri yang diadakan di Stadium Tertutup, di sini, hari ini.
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Tambah beliau, kepentingan jaringan perhubungan yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak bagi memastikan seluruh kawasan wilayah ini dihubungkan sama ada melalui darat, laut dan udara yang mana menurut beliau Sarawak memiliki kelebihan dari sudut berkenaan.
Hal ini susulan inisiatif Kerajaan Sarawak mengambil alih MASWings yang dijenamakan sebagai AirBorneo dan pembangunan Pelabuhan Miri yang terletak di laut dalam bagi memudahkan kemasukan kapal-kapal besar.
“Dalam masa dua tahun ini, maka siaplah pelabuhan laut dalam untuk kawasan Utara Sarawak yang mana akan merancakkan import dan eksport barangan daripada Miri dan di samping itu dapat menarik ketibaan kapal-kapal persiaran yang membawa 2,000 ke 3,000 pelancong dalam satu masa.
“Selain itu, untuk meningkatkan lagi industri yang berasaskan perkhidmatan dan pelancongan khsusnya di Utara Sarawak, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memutuskan untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri iaitu AirBorneo.
“Selepas tahun ini, kita akan mengambil alih sepenuhnya syarikat ini, sekaligus akan menjadi jaringan untuk kita membawa pelancong antarabangsa datang ke Sarawak,” ujar beliau lagi.
Berhubung pembangunan penting yang lain, beliau turut mengumumkan bahawa Jambatan Limbang yang menghubungkan Bandar Seri Begawan ke Limbang akan siap sepenuhnya pada suku pertama tahun hadapan.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang serta tetamu kenamaan yang lain.