ISLAM merupakan agama rasmi di Malaysia. Agama Islam juga merupakan agama utama di Sarawak. Agama ini telah wujud sebelum kedatangan orang Barat ke Sarawak lagi. Keberadaan agama Islam ini juga disuburkan dengan pembangunan beberapa institusi Islam yang memperteguhkan kehadirannya.
Institusi pembangunan Islam di Sarawak pada awalnya dilihat dalam pembangunan surau dan masjid. Dalam hal ini peranan para ulama Sarawak sendiri yang mengimarakkan lagi syiar Islam. Atas sebab itulah munculnya pendidikan al-Quran di kampung-kampung bagi memperteguhkan Islam di Sarawak.
Kedatangan Barat
Apabila kuasa barat atau James Brooke memerintah Sarawak, kedudukan Islam masih tidak tergugat. Ini kerana terdapat usaha bersepadu pemimpin Melayu memantapkan Islam di Bumi Kenyalang ini.
Hal ini boleh dilihat dari peranan keluarga Datu Patinggi Ali yang berjaya membina kekuatan Islam di Sarawak. Pemimpin Islam ini melihat kepentingan Islam itu harus dijaga maka syiar Islam di pelihara dengan baik.
Antara usaha mereka adalah mendirikan masjid di Kuching. Salah seorang anak Datu Patinggi Ali ini iaitu Datu Bandar Mualana merupakan orang bertanggungjawab dalam membina masjid ini. Beliau sedar tentang keperluan umat Islam dan pertambahan penduduk Islam di Sarawak membuatkan perlunya sebuah masjid lebih besar dibina. Manakala anak menantu Datu Patinggi Ali bernama Datu Patinggi Abdul Ghapur menjadi imam pertama bagi masjid tersebut.
Selepas Datu Patinggi Abdul Ghapur dibuang negeri oleh Raja James Brooke, masjid tersebut masih lagi beroperasi. Jawatan imam pula disandang oleh Abang Haji Bolhassan. Beliau juga adalah anak Datu Patinggi Ali.
Apabila Abang Haji Bolhassan menyandang jawatan Datu Bandar, peranan imam atau jawatan Datu Imam ini diberi kepada saudara beliau iaitu Haji Abdul Karim. Haji Abdul Karim memegang jawatan tersebut selama 12 tahun sehingga beliau meninggal dunia.
Selepas itu jawatan imam ini dipegang oleh Haji Mataim. Haji Mataim ini juga adalah adik kepada Datu Abang Haji Bolhassan.
Pada tahun 1870, kerajaan Brooke menubuh sebuah mahkamah khas untuk umat Islam. Mahkamah ini dinamakan Native Mohammedan Probate and Divorce Court. Mahkamah ini mempunyai fungsi dalam perkara-perkara tentang masalah perkahwinan, perceraian dan kematian.
Balai Datu
Satu perkembangan yang positif ke atas institusi Islam ialah penggubalan undang-undang tentang adat Melayu dan Islam. Usaha untuk menggubal undang-undang ini dilakukan oleh pemimpin dan tokoh agama yang berwibawa. Mereka ini ialah Datu Bandar Abang Haji Bolhassan, Datu Temenggung Abang Mohamad Ali, Datu Hakim Haji Abang Ashaari, Datu Imam Abang Haji Morshidi dan Datu Hakim Abang Mohd. Zain.
Usaha mereka ini akhirnya berjaya menghasilkan draf undang-undang ini pada 9 September 1910. Namun demikian ia mengambil masa yang lama untuk dikuatkuasakan iaitu pada tahun 1915.
Dalam hal ini Balai Datu (sesetengah sarjana memanggilnya sebagai Mahkamah Datu) menjadi institusi yang menggerak dan menguakuasakan undang-undang ini. Undang-undang Adat Melayu dan Islam pada peringkat pertama dijalankan oleh Ketua Kampung.
Namun demikian jikalau kes tersebut tidak dapat diselesaikan oleh Ketua Kampung maka ia akan dibawa ke Balai Datu. Datu Hakim akan menjadi hakim dalam perbicaraan tersebut. Rayuan pula boleh dibuat ke Mahkamah Tinggi. Proses kerja kehakiman ini terus berjalan sehingga British mengambil alih Sarawak sebagai jajahannya.
Majlis Islam Sarawak
Satu kemajuan dicapai oleh masyarakat Islam di Sarawak semasa pemerintahan British ialah penubuhan Majlis Islam Sarawak. Majlis ini telah ditubuhkan pada 1 Mei 1955 bagi mengantikan peranan Balai Datu dalam menguruskan hal ehwal Islam di Sarawak. Institusi ini ditubuhkan berdasarkan Ordinance Majlis Islam Incorporation.
Namun demikian terdapat juga laporan mengatakan bahawa Majlis Islam ditubuhkan semasa era Brooke. Rekod ini menyatakan institusi ini ditubuhkan pada tahun 1938. Menurut rekod tersebut penubuhan majlis ini adalah memberi kuasa kepada institusi ini untuk menjaga hal ehwal Islam. Masalah mengenai hal ini masih kurang jelas kerana tidak dinyatakan lebih lanjut perkembangan institusi tersebut.
Manakala penubuhan Majlis Islam Sarawak pada zaman British pula lebih menyakinkan. Idea penubuhan majlis ini dikatakan datang daripada Datu Imam Haji Morshidi. Ada juga mengatakan bahawa British cuba mengambil hati orang Melayu untuk bersetuju menubuh majlis tersebut.
Pada peringkat awal majlis ini mempunyai seorang Presiden. Presiden pertamanya adalah Dato Abang Haji Openg Bin Abang Sapiāee. Beliau dibantu oleh seorang setiausaha iaitu Abang Daim Bin Abang Haji Abdul Rahim. Sebuah rumah kayu di Jalan Satok menjadi ibu pejabat majlis ini.
Langkah awal majlis ini lakukan untuk memperteguhkan undang-undang Islam adalah mengadakan satu persidangan dengan ketua-ketua kaum Melayu dari seluruh Sarawak. Persidangan ini diadakan pada 30 dan 31 Julai 1956 bagi mengemaskinikan Undang-undang Adat Melayu dan Islam.
Institusi Zakat
Satu lagi tanggungjawab penting diamanahkan kepada majlis ini ialah mengurus soal zakat. Sebelum ini tiada satu badan khas diwujudkan untuk mengendali hal ini. Oleh itu fungsi baharu ini diberi kepada majlis ini pada tahun 1961.
Perkembangan zakat ini memasuki era baharu selepas Sarawak mencapai kemerdekaan. Ini kerana keperluan sebuah badan berasingan mengurus zakat membawa kepada penubuhan Tabung Zakat dan Fitrah. Penubuhan institusi ini berdasarkan pindaan kepada Ordinance Majlis Islam Incorporation. Pindaan ini dibuat pada tahun 1966.
Seperti pada namanya institusi ini mengurus tentang zakat dan fitrah umat Islam di Sarawak. Institusi ini kemudian dijenamakan dengan nama baharu apabila pindaan pada Ordinance Majlis Islam Incorporation dibuat. Nama baharu institusi ini ialah Tabung Baitulmal Sarawak yang ditukar nama pada tahun 1985.
Pada tahun 1978 pula diwujudkan Mahkamah Syariah bagi menggantikan Mahkamah Melayu Sarawak. Mahkamah ini dinaik taraf apabila dipisahkan dengan Majlis Islam Sarawak. Pemisahan itu dilakukan pada tahun 1990 apabila mahkamah ini diletakkan di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak.
Jabatan Agama Islam
Satu lagi institusi Islam yang penting ditubuhkan adalah Jabatan Agama Islam Sarawak. Jabatan ini ditubuhkan pada tahun 1990 sebagai sekretariat untuk Majlis Islam Sarawak yang mana badan ini akan menjadi badan pelaksana kepada dasar majlis tersebut.
Majlis Islam Sarawak juga memain peranan dalam pembangunan pendidikan Islam apabila menubuh Sekolah Rendah Agama Majlis Islam Sarawak pada 2 Januari 1985. Sebelum ini telah ada sebuah sekolah agama ditubuhkan di Masjid India. Seterusnya sebuah sekolah menengah agama juga telah didirikan oleh majlis tersebut. Namun demikian sekolah ini kemudian ditutup apabila kerajaan persekutuan memperkenalkan sekolah agama di seluruh negara.
Perkembang institusi Islam ini melambangkan kedinamikan umat Islam di Sarawak tentang keperluan-keperluan umat Islam di Sarawak. Mereka telah mengharungi pelbagai zaman yang mencabar dimana mereka mampu memperteguhkan institusi Islam mengikut zaman.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.