SIRI 1
Industri kelapa sawit di Malaysia sudah berusia lebih 100 tahun tetapi di Sarawak, usia industri ini kurang 60 tahun kerana penanaman berskala besar-besaran hanya bermula pada awal tahun 1990-an.
Pembangunan luar bandar di Semenanjung Malaysia dilonjak melalui penanaman kelapa sawit menerusi skim-skim kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA), Sime Darby, Tabung Haji dan persatuan persendirian kecil-kecilan sehingga berjaya mengubah komuniti luar bandar menjadi sara diri dan isi rumah kelas pertengahan dengan gaya hidup selesa.
Pemain utama pembangunan ini adalah pembinaan jalan raya menghubungkan komuniti luar bandar dengan lokasi-lokasi penanaman kelapa sawit, menyebabkan aksesibiliti dan pertumbuhan lebih banyak aktiviti pertanian termasuk industri sokongan bagi pembangunan ini.
“Aspek paling penting di dalam penanaman kelapa sawit adalah pembukaan tanah yang sesuai atau menukar tanah yang digunakan untuk komoditi lain (padi, koko dan lain-lain) bagi penanaman kelapa sawit, terutama di sepanjang sempadan estet kelapa sawit yang luas, seterusnya mewujudkan ribuan penanam kelapa sawit kecil-kecilan,” kata Pengerusi Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA), Eric Kiu Kwong Seng semasa ditemu bual.
Kata beliau, terdapat dua impak asas daripada jenis pembangunan seperti ini iaitu estet kelapa sawit berskala berar membawa jumlah pekerja yang ramai dan menarik pelaburan di dalam penyediaan tanah termasuk infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, manakala pemain kecil-kecilan mendapat manfaat daripada jalan-jalan raya baharu dan menjadikan tanah mereka dapat diakses dan untuk penanaman.
“Pembangunan ini, terutama di kawasan luar bandar di mana terdapat banyak estet besar di Sarawak, secara langsung mewujudkan peluang pekerjaan besar-besaran, selain permintaan untuk makanan, perkhidmatan, pengangkutan dan sokongan logistik, hiburan, perumahan dan vendor komunikasi mudah alih,” jelas beliau.
Disebabkan peningkatan jumlah estet besar di kawasan luar bandar Sarawak, persekitaran di pusat luar bandar juga mengalami pertumbuhan pesat sebagai pembekal utama untuk permintaan dari semua estet-estet dan kilang-kilang baharu.
Secara langsung, banyak perniagaan sampingan turut berkembang di pusat-pusat luar bandar untuk memenuhi keperluan yang sentiasa meningkat daripada para pekerja estet.
Estet kelapa sawit besar biasanya memerlukan ratusan pekerja pada peringkat awal penanaman dan jumlah pekerja terus bertambah apabila estet berkembang, termasuk perkhidmatan mesin, penyelenggaraan jalan raya, pemeliharaan estet, pemberian baja, kawalan serangga serta pemandu lori dan mesin.
“Sama seperti pengalaman Semenanjung Malaysia dengan FELDA, Kerajaan Sarawak menubuhkan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk para pemilik tanah bumiputera di Sarawak mendapat manfaat daripada pembangunan tanah mereka menerusi skim kumpulan penanaman kelapa sawit.
Para pemilik tanah ini menikmati peluang untuk bekerja dengan SALCRA dan juga mengerjakan tanah sendiri jika mahu berbuat demikian,” kata Eric Kiu.
Kebanyakan pemilik tanah luar bandar mendapat manfaat dengan menjadi penanam kelapa sawit kecil-kecilan atau usahawan dengan pendapatan lebih baik dan prospek lebih cerah untuk keluarga masing-masing, terutama membolehkan anak-anak melanjutkan pendidikan mereka.
Perlu juga dijelaskan bahawa dengan pertumbuhan dan pembangunan pusat-pusat luar bandar ini, negeri mendapat manfaat dari kekayaan ekonomi yang sentiasa meningkat, secara langsung atau tidak langsung dari peningkatan industri kelapa sawit.
Kerajaan Sarawak membantu pertumbuhan industri kelapa sawit menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta dan juga penyediaan infrastruktur seperti jalan raya, lapangan terbang, pelabuhan dan kemudahan lain. Sebagai pulangan, jualan kelapa sawit dari Sarawak menjana pendapatan untuk negeri menerusi cukai jualan, cukai tanah dan cukai korporat.
“Manfaat daripada penanaman kelapa sawit amat banyak, baik secara langsung atau tidak langsung, terutama daripada kesan limpahan seperti peningkatan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan yang menyumbang kepada pertumbuhan kawasan luar bandar dan negeri secara keseluruhan,” kata Pengerusi SOPPOA itu.
“Namun begitu, kita patut juga mengambil kira segala pengorbanan yang dilakukan untuk kemajuan industri kelapa sawit di sini, terutama pekerja asing yang meninggalkan keluarga mereka untuk datang ke sini, para pegawai dan penyelidik dari kementerian dan agensi yang terlibat di dalam industry, pekerja dari negeri lain di Malaysia yang bekerja di sini atau pekerja tempatan yang bekerja die estet-estet luar bandar di seluruh negeri.
“Justeru SOPPOA berazam untuk menjana lebih banyak kekayaan daripada industri ini dan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat di dalam perjalanan panjang untuk menjadikan industri kelapa sawit sebagai contoh kepada yang lain,” kata beliau penuh yakin.