Kawasanku Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian merupakan satu bukti daripada usaha komited serta kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengubah kawasan ini menjadi hab pendidikan di negeri ini.
Malah aspirasi itu sudah nampak nyata dan terus berkembang dengan adanya Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Mukah, Politeknik Mukah, Maktab Rendah Sains MARA(MRSM) Mukah, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Mukah, GiatMARA dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak(PPKS) Mukah.
Ia ditambah dengan beberapa buah sekolah menengah dan rendah, TADIKA dan TASKA di kampung dan kawasan rumah panjang, serta instititusi pengajian tinggi yang bakal dibina iaitu Kolej Laila Taib dan Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Sementara itu, sekolah yang menjadi percakapan dan isu pada beberapa pilihan raya sebelum ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian, kini sudah siap dan sememangnya menceriakan komuniti setempat.
PROJEK PEMBANGUNAN LAIN
Kejayaan itu tidak terhenti di situ sahaja kerana penduduk terutamanya di Mukah kini berbangga dengan siapnya Lapangan Terbang Mukah yang baharu.
Dengan beroperasinya Lapangan Terbang Baharu Mukah (LTBM) pada 17 Jun 2021 lalu, ia dijangka dapat merancakkan lagi pembangunan di kawasan DUN Tellian dan kawasan sekitar.
Projek mega yang bernilai sekitar RM435 juta dan berlokasi kira-kira tujuh kilometer dari Pusat Bandar Mukah ini mempunyai sebuah landasan sepanjang 1.5 kilometer dan lebar 30 meter.
Keluasan bangunan terminal adalah 3500 meter persegi dengan kapasiti 204 penumpang pada masa puncak, dibandingkan dengan lapangan terbang sedia ada (Lapangan Lama Mukah) yang hanya boleh memuat 40 penumpang sahaja pada waktu puncak.
Anak jati Kampung Tellian, Yussibnosh Balo, yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian pada tahun 2014 dan seterusnya DUN Tellian pada tahun 2016 adalah antara yang menyatakan kesyukuran dan teruja dengan beroperasinya lapangan terbang ini.
Beliau percaya ia akan membawa perkembangan yang amat positif di kawasannya dan Bahagian Mukah, sama ada dari segi aktiviti ekonomi, pelancongan, pendidikan, sosial dan sebagainya. Sistem perhubungan udara yang semakin baik ini pastinya memantapkan lagi perhubungan antara kawasan yang sudah mempunyai rangkaian jalan raya sedia ada, termasuk pengangkutan melalui sungai dan laut.
Selain itu, penyiapan dua buah bangunan pendtadbiran (Menara Pehin Setia Raja dan Bangunan Pentadbiran Baru Mukah yang lebih dikenali Bangunan SCORE) juga menjadi bukti pembangunan pesat di DUN ini.
Oleh kerana kawasan ini mempunyai tanah gambut yang luas dan subur, ia amat sesuai untuk penanaman rumbia. Tidak hairanlah banyak produk berasaskan sagu dijadikan sebagai antara aktiviti ekonomi buat penduduk tempatan, misalnya bebola sagu dan tebaloi.
Sementara itu, pertanian komersial seperti perladangan kelapa sawit juga antara aktiviti ekonomi yang dipelori oleh syarikat-syarikat besar.
Lokasi kawasan ini yang menghadapi Laut China Selatan, telah meletakkan Bandar Mukah sebagai pengeluar makanan laut di kawasan Tengah Sarawak, terutama berkaitan produk marin segar. Produk berasaskan makanan laut yang amat popular ialah `Umai, Ikan Masin dan keropok.