Pembangunan Bukit Begunan perlu komitmen, kerjasama semua pihak – Mong Dagang

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang pada Program Pemimpin Bersama Rakyat DUN N.31 Bukit Begunan yang diadakan di Rumah Rosie Omar, Entulang Temudok, di Simanggang semalam. Foto Alexander Frusis

SIMANGGANG: Pembangunan sesebuah kawasan memerlukan pengorbanan masa, tenaga serta kerjasama semua pihak bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat secara menyeluruh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, kemudahan asas seperti jalan kampung, bekalan elektrik dan pelbagai infrastruktur lain amat penting dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan asas bukan sahaja memberi keselesaan kepada masyarakat, malah menjadi nilai tambah yang mampu menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi penduduk rumah panjang dan komuniti setempat.

“Kerjasama erat antara ketua masyarakat, ketua kaum dan wakil rakyat amat penting supaya keperluan serta aspirasi rakyat dapat terus disampaikan dan pembangunan dapat disalurkan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat DUN N.31 Bukit Begunan yang diadakan di Rumah Rosie Omar, Entulang Temudok, di sini semalam.

Mong berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk menyantuni masyarakat secara lebih dekat, selain memperkukuhkan hubungan antara rakyat dengan pemimpin.

Katanya, hubungan yang baik antara wakil rakyat, ketua masyarakat dan ketua kaum membolehkan isu serta keperluan penduduk dikenal pasti dengan lebih berkesan untuk tindakan susulan.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dan Pejabat Daerah Sri Aman dalam usaha menambah baik kemudahan infrastruktur awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan.

Menurutnya, penyelarasan antara wakil rakyat dengan agensi berkaitan penting bagi memastikan usaha pembangunan dapat dilaksanakan secara terancang serta memberi impak langsung kepada masyarakat.

Dalam program sama, Mong mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM13,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Rosie Omar.

Daripada jumlah itu, RM10,000 disalurkan kepada JKKK, manakala RM3,000 lagi diberikan kepada Biro Wanita JKKK Rumah Rosie Omar bagi membantu pelaksanaan aktiviti yang dirancang.

Selain itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan cek MRP berjumlah RM15,000 kepada Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Komuniti Iban Bahagian Sri Aman yang diterima oleh Temenggong Leonard Libau.

Turut menerima manfaat ialah Kelab Polis Batalion 23 Pasukan Gerakan Am (PGA) Temudok Sri Aman yang menerima peruntukan RM10,000.

Mong berharap semua peruntukan berkenaan dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi membantu menampung keperluan dan perbelanjaan persatuan serta kelab dalam melaksanakan pelbagai aktiviti tahunan demi kepentingan komuniti.

Oleh Adi Safarman