
KUCHING: Pemasangan kemudahan teduhan di Pasar Bintawa membuktikan komitmen berterusan pihak majlis dalam meningkatkan keselesaan peniaga serta pengunjung, meskipun berdepan kekangan peruntukan kewangan.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata projek berkenaan merupakan antara janji yang telah dirancang sejak kerja naik taraf pasar itu disiapkan tahun lalu.
“Pemasangan teduhan dimulakan di bahagian tertentu terlebih dahulu berikutan kedudukan kawasan yang menerima pancaran matahari secara langsung. Reka bentuk teduhan yang dipasang menggunakan sistem gulung bagi memudahkan pengguna mengawal bukaan mengikut keperluan, selain memastikan pengudaraan kawasan tidak terjejas,” katanya ketika ditemui media selepas Program Penyerahan Teduhan Pasar Bintawa di sini, hari ini.
Menurut beliau, peruntukan bagi projek terdahulu telah menggunakan simpanan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan kelulusan kementerian, sekali gus memerlukan perancangan teliti untuk sebarang kerja tambahan.

“Kita tidak mahu melaksanakan sesuatu secara separuh jalan. Jika kita lakukan sesuatu, kita pastikan ia dibuat dengan baik. Namun, sebagai badan kerajaan, kita perlu mematuhi prosedur dan peruntukan ditentukan mengikut kitaran bajet tahunan,” jelasnya.
Tambah beliau, sumber kewangan MBKS sebahagian besarnya diperoleh daripada cukai taksiran, justeru setiap perbelanjaan perlu diurus secara bertanggungjawab dan dirancang dengan rapi.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak swasta, khususnya Trident Quantum Sdn Bhd, atas sumbangan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang membantu menjayakan pemasangan tersebut.
“Ini menunjukkan majlis tidak bekerja bersendirian. Sektor swasta dan masyarakat turut memainkan peranan dalam usaha menambah baik kemudahan awam,” ujarnya.

Foto Adele Rissa
Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan atau penambahan di kawasan pasar perlu dimaklumkan kepada pihak MBKS terlebih dahulu bagi memastikan kesesuaian serta pematuhan terhadap garis panduan.
“Penyelesaian yang dilaksanakan juga perlu praktikal. Pemasangan sementara yang tidak dirancang dengan baik tidak akan menyelesaikan masalah dan mungkin tidak sesuai dengan ruang yang ada,” jelasnya lagi.
Dato Wee turut menggesa semua pihak termasuk wakil rakyat, sektor swasta dan orang awam agar berganding bahu dalam membangunkan bandar serta memperkukuh perpaduan di Sarawak.
“Sarawak memerlukan rakyat yang bersatu. Jika kita berpecah, kita akan menjadi lemah dan mudah dipengaruhi pihak lain. Jadi, marilah kita bekerjasama dan memberi tumpuan kepada perkhidmatan yang ikhlas kepada rakyat,” katanya.
Beliau menambah, pihak majlis juga akan terus meneliti keperluan di bahagian lain pasar berkenaan serta lokasi pasar lain bagi pemasangan teduhan tambahan dan kerja naik taraf, tertakluk kepada ketersediaan peruntukan.
Oleh Adele Rissa