

PETRA JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya menjalankan pemantauan tanah susur di sebuah kediaman di Kampung Pangliman Seman Ulu, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan JPBM, panggilan kecemasan diterima pada 10.40 pagi melibatkan laporan mendapan tanah di kampung berkenaan.
Susulan itu, sebuah jentera EMRS BMY4294 bersama dua anggota, PBK II Mohamad Noor Faizal Marzuki dan PBK II Mohamad Saifulnizam Deris, digerakkan ke lokasi bagi menjalankan penilaian awal dan pemantauan rapi.
“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku mendapan tanah di kawasan rumah pelapor, namun tiada sebarang tanda tanah susur atau tanah runtuh dikesan,” menurut kenyataan itu.
Operasi turut dipantau oleh petugas bilik kawalan, PBK II Mohd Suhaimy Abdullah dan PB Muhd. Luqmanul Hakim Jasni. Tiada pegawai kanan atau agensi lain terlibat dalam operasi berkenaan.
Setelah memastikan keadaan benar-benar selamat dan tidak membahayakan penghuni, pasukan bomba menamatkan operasi dan bertolak balik ke balai. Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut.