SIMANGGANG: 23 buah premis peniagaan di bandar ini diperiksa dan dipantau oleh pasukan pertugas Sri Aman menerusi operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang berterusan sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Rabu lepas.
Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman, Kapten (PA) Siti Huzaimah Ibrahim berkata Pasukan pertugas Khas ketika operasi itu bertindak menasihat pekerja memakai pelitup muka ketika bekerja di premis masing-masing.
Dalam Operasi sama, pasukan itu turut mengingatkan kepada pemilik premis perniagaan dan perkerja mereka untuk sentiasa memastikan setiap pelanggan yang mengunjungi premis mereka untuk merekod butiran seperti nama dan suhu badan di samping menyediakan Cecair Pembasmi kuman bagi kegunaan mereka di premis masing-masing.
“Menerusi operasi ini juga, pihak kami turut bertindak memberi nasihat atau amaran kepada pemilik premis dan orang ramai yang didapati masih kurang peka terhadap pematuhan garis panduan PKPP.
“Bagaimanapun secara keseluruhannya operasi ini telah pun berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini di samping berharap agar orang ramai dan pemilik premis terus mematuhi SOP PKPP demi keselamatan diri mereka kelak,” kata Siti.
Terdahulu operasi ini telah disertai oleh dua anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia, dua anggota Angkatan Tentera Malaysia, dua anggota APM, tiga anggota Penguatkuasa Majlis Daerah Sri Aman dan dua anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia.
Oleh Valentine Ngumbang