
MARUDI: Anggota Pertahanan Awam (APM) Marudi dari Skuad Foxtrot mempergiatkan lagi pemantauan kawasan yang dinaiki air.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Lt. (PA) Mirwan Shah Masri berkata empat anggota yang terlibat dalam pemantauan itu diketuai L / Kpl (PA) Mohammad Hassan.
Katanya, lokasi berisiko dinaiki air banjir ialah Kampung Narum Marudi (0.24 meter), Kampung Ridan Marudi (0.27 meter), Kampung Dagang Marudi (0.17 meter), Kampung Cina Marudi (0.17 meter), Kampung Padang Kerbau (0.23 meter), Bandar Marudi (0.24 meter) dan Jalan Marudi-Miri (0.19 meter).

Hujan lebat berterusan sejak petang semalam dan bertembung dengan limpahan air pasang laut mengakibatkan beberapa kawasan kampung di sini dinaiki air banjir.
Tiada pusat pemindahan sementara dibuka.
Mirwan menasihatkan penduduk agar berhati-hati dengan trend air dan berpindah jika keadaan tidak selamat.
Katanya, jalan masih dapat dilalui semua jenis kenderaan dan keadaan masih terkawal serta selamat.
Oleh Jiku Jukuong