Pemansuhan AUKU beri ruang mahasiswa bersuara, bentuk pemikiran kritis – Anwar

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama para pelajar dalam Sesi Temu Anwar sempena Ambang Merdeka Sahabat MADANI di IPGM Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, hari ini.

BUKIT MERTAJAM: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bertujuan memberi ruang kepada mahasiswa bersuara secara bebas serta mengembangkan daya cipta, kreativiti dan pemikiran kritis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mahasiswa perlu dididik untuk berani mengemukakan pandangan dan membincangkan sesuatu isu secara terbuka, termasuk menerima hakikat bahawa pandangan mereka mungkin tidak sentiasa benar.

“Pada 1971, kerajaan kenakan sekatan kebebasan mahasiswa tetapi saya katakan anak-anak sudah 18 tahun. Dia boleh mengundi, mana sekatnya.

“Mengapa saya hapuskan akta universiti…untuk memberikan ruang kepada anak-anak untuk bicara secara bebas… kerana saya nak didik anak-anak dengan daya cipta, kreativiti, dengan penilaian dan pandangan kritis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar yang berminat menceburi bidang politik pada Sesi Temu Anwar Bersama Pelajar bersempena dengan Program Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.

Anwar berkata keputusan kerajaan memansuhkan AUKU bertujuan memastikan mahasiswa tidak terus dikongkong, sebaliknya diberikan ruang untuk membentuk pemikiran yang matang. 

Perdana Menteri berkata kebebasan bersuara itu perlu disertai dengan keupayaan menilai sesuatu perkara berasaskan fakta dan ilmu, bukan sentimen, sekali gus melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa.

Beliau berkata pemimpin politik juga perlu mendidik masyarakat berasaskan fakta dan ilmu serta mengelakkan pendekatan yang memainkan sentimen perkauman.

Menjawab soalan mahasiswa yang berminat menyertai politik kelak, Anwar berkata generasi muda yang berminat dalam bidang itu perlu mempunyai courage of conviction, iaitu keberanian mempertahankan pendirian berdasarkan keyakinan dan ilmu.

Beliau berkata politik merupakan bidang yang mulia sekiranya seseorang menjadikannya sebagai  amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat, namun boleh menjadi kotor sekiranya disalahgunakan bagi kepentingan diri.

“Politik merupakan bidang mulia jika kita menjadikannya mulia, namun ia boleh jadi kotor dan penuh rasuah sekiranya kita mudah dipengaruhi mereka yang terang-terangan mengamalkan rasuah.

“Jadi, nasihat saya, silakan (sertai politik). Jika kita bercakap mengenai masyarakat, komuniti dan negara, pastikan kita menceburi politik dan berkhidmat kerana cinta kepada negara ini serta yakin akan masa depannya,” katanya.

Sementara itu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) memaklumkan Sesi Temu Anwar itu menghimpunkan 800 generasi muda terdiri daripada 400 pelajar tingkatan lima, 277 tingkatan enam dan 123 pelajar IPG Kampus Tuanku Bainun.

“Sesi interaktif bersama Perdana Menteri berkenaan memberi ruang kepada generasi muda untuk berdialog secara langsung, menyuarakan pandangan, bertukar idea serta menerima amanat mengenai peranan mereka dalam pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan dimulakan dengan Program Tuisyen Belia MADANI pada sebelah pagi yang menyediakan bimbingan akademik bagi mata pelajaran Sejarah dan Matematik kepada 400 pelajar tingkatan lima daripada 10 sekolah sekitar Permatang Pauh sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selain itu, calon SPM dan pelajar tingkatan enam yang menyertai program berkenaan turut mengikuti sesi motivasi sebagai usaha meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan menghadapi peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Program itu turut menyaksikan penyampaian Sumbangan Sejahtera MADANI–Pendidikan kepada 10 murid sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan komuniti pendidikan setempat terus diperkukuh. – Bernama