WASHINGTON: Pemangku Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Chad Wolf semalam, mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut.
Tindakan itu ekoran kebimbangan meningkat terhadap lebih banyak keganasan menjelang pelantikan Presiden AS yang baharu, Joe Biden, 20 Januari ini.
Wolf sebagai ketua badan menjaga keselamatan bagi majlis angkat sumpah itu, meletak jawatan lima hari selepas penyokong tegar Presiden Donald Trump menyerbu bangunan Capitol, dengan harapan dapat menghentikan Biden daripada menggantikannya.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengawasi beberapa badan penguatkuasaan undang-undang termasuk Perkhidmatan Rahsia iaitu agensi keselamatan bagi Rumah Putih dan Presiden AS.
Wolf mengumumkan peletakan jawatannya ekoran alasan prosedur dan menamakan Pete Gaynor, pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, bagi menggantikannya.
Bagaimanapun langkah itu tidak menamatkan persoalan mengenai keselamatan ibu negara AS menjelang majlis angkat sumpah Presiden AS baharu, minggu hadapan.
Dokumen dalaman FBI pula memberi amaran kemungkinan penyokong Trump mengadakan tunjuk perasaan menggunakan senjata di semua 50 negeri antara hujung minggu ini hingga 20 Januari ini, menurut media AS.
Rumah Putih dalam kenyataan menjelaskan Trump sudah mengisytiharkan darurat di daerah Columbia dan mengarahkan bantuan pihak keselamatan Persekutuan bagi melengkapkan usaha tindak balas daerah itu dari 11 hingga 24 Januari ini.
Perintah itu dikatakan memberi hak kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri untuk bertindak ‘menyelamatkan nyawa dan melindungi harta benda, kesihatan serta keselamatan awam, bagi mengurangkan atau mencegah ancaman malapetaka di daerah Columbia’.
Sementara itu, Pentagon semalam memberitahu, sudah meluluskan penghantaran 15,000 pasukan Pengawal Nasional untuk dikerahkan bagi mengawal majlis angkat sumpah pelantikan Biden.
Ketua Biro Pengawal Nasional Jabatan Pertahanan, General Daniel Hokanson, berkata seramai 6,200 tentera sudah berada di Washington, manakala 10,000 lagi akan dikerahkan hujung minggu depan dan baki 5,000 pula pada hari pelantikan.
Katanya, mereka akan dilengkapi peralatan dan senjata, tetapi setakat ini belum diberi kuasa untuk berbuat demikian.
Sebelum mengumumkan peletakan jawatannya, Wolf mengarahkan supaya Perkhidmatan Rahsia mempercepat persiapan, berdasarkan kejadian rusuhan keganasan minggu lalu dan perkembangan landskap keselamatan’
Persiapan acara berjalan pantas. Pagar keselamatan sudah dibina di seluruh kawasan Capitol, lokasi Biden akan mengangkat sumpah sebagai pengganti Trump. – AFP