
LAWAS: Seorang pemandu wanita berusia 43 tahun mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (Hilux) di Jalan Gaya, berhadapan Lapangan Terbang di sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 8.36 pagi dan segera mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kita dapati mangsa tidak tersepit, namun mengalami kecederaan di lutut kiri akibat hentakan dan luka pada jari tangan. Pemandu serta penumpang kenderaan Hilux pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat bertindak memasang pendakap leher kepada mangsa sebelum mengeluarkannya dengan selamat dari kenderaan dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
“Selepas situasi dikawal sepenuhnya, pasukan kami turut melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di jalan bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan,” tambah beliau.
Oleh Adeng Edrus