ADUM LIU
MIRI: Pemandu teksi di sekitar bandaraya Miri boleh dikatakan sebahagian dalam barisan hadapan dan perlu dijaga, kata Senator Alan Ling semalam.
Katanya, pemandu teksi juga bertugas menyediakan pengangkutan dan perlu mendapatkan penjagaan dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Maka, mereka (pemandu teksi) turut diagihkan bantuan penutup mulut dan hidung sebagai langkah menjaga keselamatan mereka.
“Saya sangat faham bahawa mereka terjejas teruk kerana perkhidmatan mereka dalam sektor industri berasaskan pelancongan, namun hampir setiap sektor terkena impak yang teruk, dan kita harus bersabar berharap wabak itu akan segera berakhir,” jelasnya.
Sehubungan itu, pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan melakukan yang terbaik untuk terus menyumbang penutup mulut dan hidung serta pembersih tangan kepada semua di barisan hadapan untuk memastikan mereka selamat dari Covid-19.
Tambahnya, mengenai Bantuan PRIHATIN Nasional (BPN) seorang pemandu yang telah berjaya mendaftar untuk Bantuan Sara Hidup (BSH), pembayaran akan dipindahkan secara langsung ke akaun bank berdaftar untuk program Bantuan Sara Hidup (BSH).
Selain itu, Alan turut menggesa pemandu teksi yang layak tetapi tidak berdaftar dengan BSH untuk memohon Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat untuk menuntut RM600 di laman web rasmi Kementerian Kewangan (MoF) di www.treasury.gov.my dan mereka boleh melayari laman web itu untuk memeriksa dan kemas kini akaun.
“Saya berharap bantuan dari kerajaan akan meringankan beban hidup mereka dalam masa yang mencabar kerana wabak Covid-19,” katanya.
Sejajar dengan PKP, kerajaan telah mengumumkan bantuan sekali RM600 untuk pemandu teksi, pemandu pelancong dan lain-lain sebelumnya.
Alan bersama DAP Miri telah melakukan aktiviti pengedaran penutup hidung dan mulut sejak PKP bermula hingga kini, sejumlah 8,000 keping penutup mulut dan hidung diagih kepada pelbagai agensi seperti polis, tentera, klinik, wartawan, mahkamah, bomba, penghantar makanan dan posmen.