KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki cedera pada kaki kanan selepas lori tangki dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori kargo di Persimpangan Bulatan ILP Samarahan Expressway, di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.26 pagi.
“Setibanya di lokasi pada 3.37 pagi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan lori kargo.
“Seorang pemandu lori tangki tersepit pada kaki kanannya sebelum pasukan bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan set peralatan menyelamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dibawa menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke Institut Jantung Negara (IJN) Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi terkawal pada 4.16 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 4.27 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.
Oleh Adele Rissa




