BINTULU: Seorang pemandu lori yang membawa muatan kayu balak secara berbahaya antara individu yang dikenakan tindakan dalam Operasi Pengarah dan Operasi Khas Gempur Teknikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bintulu, baru-baru ini.
Menurut kenyataan daripada JPJ Sarawak, pemandu berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika melalui Jalan Pan Borneo Bintulu – Miri dan mendakwa baru sahaja memulakan tugas sebagai pemandu lori balak pada hari kejadian.
Lori tersebut yang dalam perjalanan dari Jalan Kemena menuju ke Jalan Samalaju didapati membawa muatan kayu balak yang disusun secara berbahaya, menyebabkan pemandu dikenakan saman di bawah Kaedah 18 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi yang dijalankan di dua lokasi berasingan, iaitu Jalan Pan Borneo Bintulu – Miri dan Jalan Nyabau, mendapati sebanyak 28 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Ia termasuk membawa muatan berbahaya (1), tiada lesen memandu (7), tiada Lesen Vokasional (6), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (3), tiada perlindungan insurans (3), ingkar permit (1), kerosakan tayar (4), kesalahan teknikal lain (4) dan lain-lain kesalahan (3).
Selain itu, sembilan notis penguatkuasaan turut dikeluarkan, merangkumi Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (3), Notis Arah Periksa Kenderaan (4) dan Notis (Sita) Penahanan Kenderaan (2).
Operasi berkenaan turut disertai Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili dan Ketua Cawangan JPJ Bintulu, Fedrick Kedo.
Dalam perkembangan lain, JPJ Sarawak memberi penjelasan berhubung laporan bertajuk ‘Disaman meskipun cukai jalan, insurans sah’ yang disiarkan oleh Utusan Borneo pada 24 Februari lau dan tular di media sosial.
Susulan insiden tersebut, semua anggota penguat kuasa JPJ Sarawak telah diberi peringatan untuk lebih proaktif dan sensitif dalam menjalankan tugas di lapangan.
JPJ Sarawak menegaskan bahawa pihaknya bertanggungjawab memastikan kenderaan di jalan raya mematuhi peraturan dan berada dalam keadaan selamat.
Sehubungan itu, pemilik dan pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menyimpan salinan digital atau mencetak dokumen Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) daripada aplikasi MyJPJ bagi memudahkan pemeriksaan terutama di kawasan yang tiada liputan internet.
Oleh Carolyne Utih