

MIRI: Tindakan seorang lelaki memandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol mengundang padah apabila dia ditahan polis dalam Op Mabuk yang turut mengesan pelbagai kesalahan trafik lain sehingga 35 saman dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Miri di Jalan Miri-Airport bermula 11.00 malam semalam hingga 2.30 pagi tadi.
Menurutnya, ujian pernafasan menggunakan alat saringan alkohol (SD2) mendapati suspek mempunyai kandungan alkohol dalam badan ketika memandu.
“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Miri sebelum sampel darah diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi yang diketuai seorang pegawai kanan bersama enam anggota trafik itu memeriksa 91 individu terdiri daripada 72 lelaki dan 19 wanita serta 86 kenderaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan termasuk memandu tanpa lesen, pengubahsuaian ekzos, cukai jalan tamat tempoh, gagal mempamerkan huruf ‘P’ dan lain-lain kesalahan teknikal,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 35 saman telah dikeluarkan sepanjang operasi tersebut.
Katanya, jika disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
Oleh Liong Chai Ling