
KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di Jalan La Promenade, awal pagi tadi.
Operasi yang berlangsung dari 12.01 tengah malam hingga 3.00 pagi itu melibatkan seorang pegawai kanan polis bersama lapan anggota trafik.
Sepanjang operasi, sebanyak 120 kenderaan dan 130 individu diperiksa bagi mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas, khususnya pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Hasil saringan awal menggunakan alat pengesan alkohol SD2+ mendapati seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Selain itu, polis turut mengeluarkan 25 saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K) 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang operasi berkenaan.
Polis memaklumkan operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.




